suria

Perwakilan Umno cukup rasional Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Perwakilan Umno cukup rasional dan tidak menjadikan kriteria pemberian wang sebagai syarat utama untuk memberikan sokongan kepada calon pada pemilihan Mac depan, kata anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, walaupun terdapat khabar angin atau laporan mengenai calon-calon diminta oleh perwakilan atau bakal perwakilan untuk memberi habuan politik, tetapi sebahagian besar perwakilan Umno tidak mengamalkan perkara tersebut.

Ahmad Zahid mengulas laporan media berhubung pendedahan anggota Majlis Tertinggi (MT) yang juga Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim bahawa ada segelintir pihak meminta 'habuan' sebagai balasan untuk mencalonkan beliau bagi jawatan naib presiden yang ditandinginya.

"Apa yang dialami Rais itu mungkin pengalaman peribadi beliau tetapi saya tidak mengalami keadaan itu...mungkin sebab tagline atau slogan yang saya tanam bukan budi tetapi kesetiakawanan.

"Insya-Allah undi yang akan saya perolehi bukan berdasarkan kepada permintaan untuk memenuhi tuntutan habuan tetapi rasa keakraban dan kesetiakawanan di kalangan sahabat," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini semalam. "Perwakilan juga mungkin akan melihat sama ada saya boleh atau tidak dijadikan pohon rendang, dahan tempat mereka bergantung harap apabila saya diberi kepercayaan setelah pemilihan Mac," katanya. BERNAMA

Artikel Lain