suria

Pembangkang tegur sikap Exco tidak profesional jawab soalan

SHAH ALAM: Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini kecoh apabila berlaku pertikaman lidah antara anggota pembangkang dan Exco kerajaan negeri yang hampir menyaksikan Datuk Abdul Rahman Palil (BN-Sementa) diperintah keluar dewan oleh Speaker Teng Chang Khim.

Ketegangan itu timbul apabila Abdul Rahman meminta Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adatadat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Asas Negeri Datuk Dr Hasan Ali menjawab soalan Mat Shuhaimi Shafiei (PKRSri Muda) secara profesional dan bukannya dengan nada menyindir.

Terdahulu, semasa menjawab soalan Suhaimi mengenai pertindihan skop penyelenggaraan antara agensi kerajaan yang mengelirukan rakyat dan bilakah kerajaan negeri akan melakukan perubahan, Dr Hasan berkata agensi kerajaan tidak ada masalah bekerja dengan kerajaan baru kerana mereka diberi peluang menyatakan pendapat mereka yang merupakan satu budaya yang tidak ada pada kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.

Ungkapan Dr Hasan iaitu "Budaya yang ada (semasa pemerintahan BN) hanyalah Menteri Besar suruh," telah menimbulkan kemarahan Abdul Rahman yang berkata Dr Hasan yang berkelulusan Doktor Falsafah sepatutnya menjawab secara profesional bukannya menyindir.

Dr Hasan(PASGombak Setia) yang jelas berang dengan kenyataan Abdul Rahman itu berkata: "Ini sudah main kasar".

Tindakan Abdul Rahman bangun untuk mencelah pada sesi soal jawab bagi membantah kenyataan Dr Hasan itu ditegur oleh Teng kerana menyalahi peraturan dewan dan berkata Abdul Rahman boleh berbuat demikian pada sesi perbahasan bagi mendapatkan penjelasan daripada Dr Hasan.

Bagaimanapun, Abdul Rahman enggan duduk dan Teng berkali-kali mengingatkan beliau supaya duduk dan jika tidak beliau akan dihalau keluar dari persidangan dan boleh digantung tugas sebagai anggota dewan selama satu sehingga lima hari mengikut peraturan mesyuarat dewan.

Pertengkaran antara Abdul Rahman dan Dr Hasan kemudiannya tidak dapat didengar dengan jelas berikutan Teng bertindak mematikan pembesar suara bagi meredakan keadaan.

Dr Hasan kemudian bertanya kepada Teng kenapa tidak ambil tindakan terhadap Abdul Rahman, Teng berkata :"Kita mesti berhati-hati, hati kita cukup besar dan kita maafkan orang yang jahil".

Ketika diminta mengulas lanjut mengenai kejadian itu semasa dewan berehat, Teng berkata Abdul Rahman hanya diberi amaran keras. BERNAMA

Artikel Lain