suria

Jumlah mangsa banjir di Kedah dan Perak bertambah

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Perak dan Kedah secara keseluruhannya bertambah buruk petang ini apabila lebih ramai mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di kedua-dua negeri itu.

Kawasan yang dilanda banjir turut bertambah petang ini apabila enam daerah di Kedah dan empat di Perak ditenggelami air berikutan hujan yang berterusan.

Hanya Bandar Baharu di Kedah mencatat pengurangan jumlah mangsa banjir apabila 21 orang dibenar pulang ke rumah masing-masing.

Di KEDAH, seramai 1,708 mangsa banjir kini ditempatkan di 19 pusat pemindahan di daerah Kota Star, Kubang pasu, Padang Terap, Pendang, Bandar Baharu dan Kulim. Jumlah yang dipindahkan pagi ini ialah 1,670 orang.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah, Zulkifli Ramli berkata, mereka yang dipindahkan itu membabitkan 412 keluarga.

Jumlah yang dipindahkan di daerah Kota Star ialah 896 orang, di Kubang Pasu (630), Padang Terap (118), Pendang (11), Bandar Baharu (21) dan Kulim (23), katanya ketika dihubungi hari ini.

Di IPOH, seramai 662 orang mangsa kini ditempatkan di sembilan pusat pemindahan banjir di empat daerah di negeri ini iaitu Bukit Merah, Teluk Intan, Bidor dan Sitiawan.

Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata Bukit Merah mencatat jumlah paling ramai dengan 481 orang dipindahkan sehingga petang ini, diikuti Teluk Intan (122), Sitiawan (56) dan Bidor (3).

Kawasan yang terbabit banjir di Bukit Merah ialah Kampung Ayer Hitam 2, Kampung Ayer HItam 3, Batu 37 dan Batu 38, Parit Abu Hasan, Kampung Parit Abu Hasan Ban, Kampung Parit Lebai Kadir, Kampung Batu 40, Kampung Alor Setangguk dan Kampung Padang Lalang.

Jurucakap itu berkata, banjir di Teluk Intan membabitkan Mukim Sungai Manik, Mukim Labu Kubung dan Mukim Changkat Jong manakala di Sitiawan melibatkan penduduk dari Kampung Tersusun Batu Tujuh, Lekir dan di Bidor, kawasan yang terbabit ialah Kampung Jalan Sungkai. BERNAMA

Artikel Lain