suria

Enam termasuk tiga remaja bawah umur didakwa serang seorang lelaki

JOHOR BAHARU: Enam lelaki termasuk tiga remaja bawah umur, didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menyerang seorang lelaki dengan menggunakan parang.

S. Vasanthan, 20, P. Murugan, 21, K. Kunachitran, 19, dan tiga remaja yang masingmasing berusia 17 tahun didakwa menetak S. Davadren, 23, pada pukul 1 pagi 16 Okt lalu di Bandar Seri Alam, Masai, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu.

Mangsa yang mendapat kecederaan di lengan dan kepala masih menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail. Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan menghadapi hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Majistret Nor Shahid Abdul Malik menetapkan ikat jamin RM1,000 untuk setiap remaja bawah umur itu dan RM1,500 untuk setiap lelaki berkenaan. Beliau juga menetapkan 4 Feb depan untuk sebutan kes.

Pendakwaan dilakukan oleh Penolong Pendakwaraya Nur Iffa Zarilla Abdul Rahman manakala kesemua tertuduh diwakili oleh R. Jegatheson.

Dalam kes berasingan, seorang wanita berusia 34 tahun dijatuhi hukuman penjara empat bulan selepas mengaku bersalah terlibat dalam aktiviti pelacuran.

R. Audrey Sheila, yang didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana melacur dituduh melakukan kesalahan itu di bilik sebuah rumah kedai di Jalan Trus di sini pada 8.15 pagi semalam.

Pendakwaan dilakukan oleh Penolong Pendakwaraya Nur Iffa Zarilla manakala tertuduh tidak diwakili. BERNAMA

Artikel Lain