suria

Chor serah keputusan jawatannya kepada kepimpinan parti

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Chor Chee Heung akan menyerahkan kepada kepimpinan MCA yang baru dilantik beberapa hari lepas, untuk membuat keputusan berhubung karier politiknya dalam parti.

Katanya beliau akan mematuhi dan menerima apa jua keputusan yang dibuat oleh presiden parti yang baru Datuk Seri Ong Tee Keat mengenai kedudukannya, selepas beliau kalah dalam saingan ke jawatan Naib Presiden parti Sabtu lepas.

"Saya masih Anggota Parlimen, tapi apa juga kedudukan saya dalam parti pada masa hadapan, saya serahkan kepada kepimpinan baru," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Keenam Pengurusan Krisis Asia di sini hari ini.

"Politik bukan segalanya dalam hidup ini, saya masih boleh membantu komuniti menerusi pelbagai cara lain," kata Chor yang sudah menjadi Anggota Parlimen sejak 1990 dan anggota jawatankuasa pusat MCA sejak 1993.

Berhubung dakwaan yang dibuat kepada perwakilan parti menerusi perkhidmatan SMS, yang mengatakan bahawa Chor adalah salah seorang pemimpin MCA yang mempengaruhi Tun Ling Liong Sik (presiden MCA ketika itu) untuk membeli Nanyang Press yang menyebabkan parti mengalami kerugian besar, Chor berkata ketika itu beliau tidak memegang jawatan penting dalam parti.

"Sekiranya perwakilan pusat memilih untuk mempercayai kenyataan itu, saya rasa ini bermakna mereka masih belum matang. Ketika itu siapalah saya untuk membantu mempengaruhi keputusan Tun Ling Liong Sik," tanya pengerusi MCA Kedah itu. BERNAMA

Artikel Lain