suria

Syed Hamid Jangan jadikan tempoh kempen satu isu besar

KUALA LUMPUR:Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar menggesa anggota Umno supaya tidak menjadikan tempoh berkempen dalam pemilihan parti itu, sebagai isu yang besar.

Sebaliknya, beliau berkata mereka seharusnya memberi lebih tumpuan kepada aspirasi parti untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Syed Hamid berkata anggota Umno perlu menerima hakikat bahawa tempoh berkempen adalah lebih panjang, dan had masa pula, amat memenatkan.

"Secara umum, tempoh berkempen yang lebih panjang tidak begitu disukai kerana kita sudah biasa dengan tempoh berkempen yang pendek. Namun disebabkan keadaan tertentu, pemilihan Umno ditangguhkan. Jadi, kita harus menerima hakikat dan tidak terlalu memikirkannya.

"Janganlah menjadikannya satu isu besar yang membangkitkan salah faham dalam kalangan anggota parti. Di peringkat awal, kempen tidak rasmi oleh calon telah berjalan sejak setahun lepas, malah sebelum tarikh baru pemilihan diumumkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kolokuium mengenai 'Dasar Media di Malaysia' di sini, semalam.

Kolokium dua hari itu dianjurkan oleh Institut Pembangunan Komunikasi Asia (Aidcom) dan Suruhanjaya Tinggi Kanada bagi membincangkan isu berhubung dasar dan kebebasan media.

Jumaat lepas, calon Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau lebih menyukai tempoh berkempen yang lebih pendek untuk pemilihan parti.

Katanya tempoh berkempen sekarang selama empat bulan akan menjejaskan produktiviti calon yang bersaing merebut jawatan dalam parti. Sebahagian besar daripada calon terbabit menjawat jawatan tinggi dalam kerajaan.

Syed Hamid berkata perdebatan yang berterusan berhubung tempoh berkempen dan perbezaan pandangan yang dikemukakan boleh memberi ruang kepada gabungan pembangkang untuk meraih keyakinan rakyat.

Beliau, yang mencuba nasib merebut satu daripada tiga jawatan Naib Presiden, berkata beliau yakin akan memperoleh cukup pencalonan bagi membolehkannya bertanding jawatan itu.

"Sehingga semalam, saya mendapat 12 pencalonan... lapan pencalonan lagi. Saya rasa ia tidak mustahil memandangkan persidangan perwakilan bahagian hanya tamat bulan depan," katanya.

Dalam saingan merebut jawatan Naib Presiden Umno, empat calon telahpun layak untuk pemilihan Mac lepas, iaitu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain