suria

Rais DrMahathir berhak buat kenyataan tentang Umno

KUALA LUMPUR:Ketua Umno Bahagian Jelebu Datuk Seri Dr Rais Yatim semalam membidas mereka yang mengkritik bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana membuat kenyataan tentang Umno.

"Banyak pihak yang menghentam Tun Dr Mahathir kerana membuat kenyataan tentang Umno. Ini tidak sepatutnya menjadi satu isu," kata Rais, yang juga Menteri Luar.

"Beliau ada locus standi (kedudukan) untuk membuat apa jua kenyataan tentang Umno. Beliau menerajui parti itu selama 23 tahun. "Kalau mereka ingin berkata sesuatu kepada beliau, jumpa beliau dan cakap secara berdepan dengannya. Dr Mahathir berhak untuk menyatakan apa saja yang beliau mahu tentang Umno," katanya kepada pemberita pada Program Pertukaran Kebudayaan Rakan Malaysia anjuran Kementerian Luar di sini.

Sejak bulan lepas, ada pemimpin tertentu dalam Umno, termasuk presiden parti dan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, menuduh Dr Mahathir menjadi punca perpecahan yang berlaku dalam parti itu.

Bekas perdana menteri itu keluar daripada Umno awal tahun ini dan berkata beliau akan hanya kembali ke pangkuan parti itu apabila Abdullah tidak lagi berada dalam Umno dan memegang jawatan dalam kerajaan.

Beralih kepada isu lain, Rais mendakwa amalan politik wang semakin menjadijadi dalam Umno ketika ini dan jika tidak diatasi, perbuatan ini boleh mengakibatkan parti politik terbesar di Malaysia itu berkubur.

Kata beliau Akta Suruhanjaya Antirasuah, yang dicadangkan dan akan dibentangkan di Dewan Rakyat menjelang akhir tahun ini, mampu mengekang amalan buruk itu, yang sering melanda Umno apabila parti itu mengadakan pemilihan.

Umno, yang menjadi tulang belakang Barisan Nasional, akan mengadakan pemilihannya pada Mac tahun depan.

Dalam sistem parti itu, kesemua 191 bahagian akan mencalonkan pemimpin untuk bertanding bagi jawatan tertinggi di peringkat kebangsaan, daripada jawatan presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden, hinggalah kepada 25 kerusi majlis tertinggi.

Rais telah mengumumkan keputusannya untuk bertanding bagi jawatan naib presiden dan setakat ini, beliau baru mendapat enam pencalonan.

Seseorang yang ingin menjadi calon naib presiden disyaratkan mendapat sekurangkurangnya 20 pencalonan. Mesyuarat peringkat bahagian telah bermula dan akan berakhir pada 9 Nov.

Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sedang mendahului persaingan bagi merebut jawatan naib presiden dengan memperoleh 54 pencalonan, diikuti Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (38) dan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Shafie Apdal (32).

Setakat ini, mereka menduduki tiga tempat teratas dalam senarai 12 pemimpin Umno yang mendapat pencalonan untuk bertanding bagi merebut tiga kerusi naib presiden.

Rais berkata beliau mendapati sesetengah pemimpin mendapat pencalonan "di luar kebiasaan", tetapi tidak menyebut nama pemimpin berkenaan dan jawatan yang mereka tandingi.

"Saya sendiri telah dihubungi beberapa bahagian yang ingin mendapatkan sumbangan dan derma. Kalau saya beri kepada mereka apa yang dikatakan sebagai sumbangan atau derma itu, saya akan dapat pencalonan, tapi saya tak akan tunduk kepada permintaan seperti itu. Pencalonan patut berdasarkan khidmat dan kebolehan," kata Rais. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain