suria

Polis minta Hindraf hentikan aktiviti melanggar undangundang

KUALA LUMPUR: Polis menasihatkan anggota kumpulan yang diharamkan, Hindu Rights Action Force (Hindraf) supaya menghentikan aktiviti yang melanggar undang-undang.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata polis akan mengambil tindakan tegas ke atas pengikut pertubuhan itu sekiranya mereka melanggar perintah pengharaman yang dikenakan ke atas pertubuhan berkenaan.

"Tolong patuhi undang-undang dan arahan menteri berkenaan kerana itu adalah arahan yang sah.

"Polis akan sentiasa memantau rapi pertubuhan haram tersebut dan jika mereka melakukan sesuatu yang salah, kita akan siasat dan ambil tindakan mengikut peruntukan yang ada dalam undang-undang," katanya kepada pemberita pada majlis penutup kursus narkotik di Maktab Polis Diraja Malaysia di sini hari ini.

Khamis lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata kerajaan telah menyerahkan kepada polis dan mahkamah untuk memutuskan tindakan yang akan diambil terhadap kumpulan itu.

Kerajaan turut mengharamkan Hindraf kerana ia melanggar Akta Pertubuhan.

Sementara itu, beliau berkata Jabatan Narkotik, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meluaskan skop kerjasama dengan negara Asean bagi memerangi sendiket pengedaran dadah antarabangsa.

"Hari ini kita telah adakan satu kursus untuk mencari ilmu baru atau jalan penyelesaikan terbaik menangani masalah pengedaran dan penyeludupan dadah terutamanya di pintu sempadan negara," katanya.

Beliau berkata usaha pencegahan itu adalah dipertanggungjawabkan kepada badan agensi kerajaan yang terlibat termasuklah dari Agensi Penguatkuasaan Dadah (DEA).

Ismail berkata kerjasama antara tiga negara iaitu Thailand, Malaysia dan Singapura, diharapkan dapat mematahkan sendiket penyeludupan dadah di rantau ini.

"Kursus ini diadakan setiap tahun dan ini adalah kali pertama Singapura menyertai kursus ini sejak ini ia diperkenalkan lima tahun yang lepas.

"Saya sangat berharap agar selepas ini negara jiran terdekat seperti Indonesia dan Brunei dapat menyertai kita pada kursus akan datang bagi menyelesaikan masalah dadah ini," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain