suria

Mahkamah kekal perintah pembebasan setiausaha kesatuan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan perintah pelepasan dan pembebasan terhadap seorang setiausaha kesatuan setelah mendapati tiada sebarang kesilapan fakta oleh hakim sebelum ini.

Hakim Datuk Mohamed Apandi Ali membuat keputusan itu ke atas S. Nadarajan, 44, dan menyatakan tiada sebab untuk beliau mengubah keputusan Hakim Mahkamah Sesyen pada 5 April 2007.

Hasil keputusan Mahkamah Sesyen, pihak pendakwaan mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Nadarajan didakwa menipu ahli jawatankuasa tertinggi Kesatuan Kebangsaan Pekerja Industri Minuman Semenanjung Malaysia, berkenaan penjualan sebuah rumah kedai yang membabitkan komisyen kepada seorang broker walhal broker tersebut tidak wujud.

Akibat penipuan itu, kesatuan mendakwa telah mengalami kerugian berjumlah RM14,000.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu pada 30 Sept 2000, pukul 9 pagi hingga 1.30 petang di pejabat kesatuan di Blok b, Wisma Indah Jalan Tun Razak, di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dalam penghakiman, Mohamed Apandi berkata berdasarkan keterangan tiga saksi iaitu Abdul Rahman Yusof (ahli jawatankuasa tertinggi kesatuan), Mohd Rethuan Baharudin (presiden kesatuan) dan Abd Wahab Mohd Said (bendahari kesatuan) didapati tiada sebarang keterangan yang menyatakan mereka ditipu oleh Nadarajan dan tiada yang menyatakan kesatuan mengalami kerugian.

"Kesahihan atau kebenaran isi kandungan keterangan dari baucer bayaran berkait komisyen berjumlah RM14,000 kepada broker Lim, tidak pernah dinafikan atau dipersoalkan oleh Mohd Rethuan dan Abd Wahab yang menjadi penandatangan baucer tersebut.

"Keputusan hakim Mahkamah Sesyen merupakan fakta yang berlandaskan kepada kesemua keterangan yang telah dikemukakan termasuk baucer tersebut," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain