suria

Lima mati ditembak di Selatan Thailand

BANGKOK: Lima orang, termasuk dua pemain sepak takraw, ditembak mati dalam dua kejadian berasingan di wilayah bergolak di Selatan Thailand malam tadi.

Jurucakap polis berkata dalam kejadian pertama yang berlaku pukul 7.30 malam di kampung Manangkayi di sepanjang jalan Narathiwat-Rangae, sebuah pikap yang membawa pulang lapan lelaki daripada kejohanan sepak takraw diserang.

Katanya penyerang yang menggunakan Ak47 melepaskan beberapa tembakan yang membunuh dua pemain yang duduk di hadapan pikap, termasuk seorang penolong ketua kampung, dan mencederakan enam orang lagi yang duduk di belakang kenderaan itu.

Di Pattani, tiga orang mati apabila beberapa lelaki yang memakai uniform hitam memasuki rumah mereka dan menembak mereka. Siasatan awal menunjukkan bahawa pembunuhan itu ada kaitan dengan pengedaran dadah, katanya.

Lebih 2,300 orang terbunuh dalam keganasan di Yala, Narathiwat, Pattani dan beberapa daerah di Songkhla sejak Januari 2004 apabila kumpulan yang disyaki pemisah menjalankan kembali kempen mereka untuk mendapatkan kemerdekaan bagi wilayah majoriti orang Islam yang bersempadan dengan Malaysia itu.

Bangkok telah mengerahkan lebih 20,000 tentera ke wilayah bergolak itu tetapi menghadapi kesukaran bagi mengesan kumpulan pemisah itu yang menggunakan pergerakan cara gerila. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain