suria

Lelaki bunuh abang guna pistol polis didakwa

JOHOR BAHARU: Seorang lelaki didakwa di mahkamah majisret di sini hari ini kerana membunuh abangnya dengan menggunakan pistol yang dicuri dari seorang anggota polis.

Mohammad Nor Azhar Zaidi Lau, 23, didakwa menggunakan pistol curi untuk menembak dan membunuh Muhammad Nor Azri di rumah mereka di Kampung Melayu, Gelang Patah pada lebih kurang 12.05 tengah malam, 2 Okt 2005.

Dia yang dikatakan membunuh abangnya selepas satu pertengkaran antara mereka didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Tiada pengakuan dicatatkan dari tertuduh dan Majistret Nor Shahid Abd Malik menetapkan 19 Januari tahun depan untuk sebutan kes.

Di sebuah lagi mahkamah majistret, tertuduh telah didakwa kerana mencuri sebuah beg yang mengandungi pistol yang digunakan untuk membunuh dan beberapa barangan lain milik seorang anggota polis.

Dia bersama seorang lagi lelaki dikatakan telah mencuri beg yang mengandungi pistol jenis Steyr M9, 10 butir peluru, sebuah telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM2,500 daripada anggota polis, Filus Abd Kadir di hadapan sebuah restoran di Taman Bukit Kempas pada pukul 10 malam, 11 Mac 2005.

Kesalahan itu diklasfikasikan sebagai curi di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mohammad Nor Azhar juga menghadapi tuduhan pilihan memiliki dan menyimpan barangan curi di rumahnya Kampung Melayu, Gelang Patah lebih kurang 12.05 tengah malam, 2 Okt 2005, kesalahan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Tertuduh mengaku tidak bersalah.

Majistret Rasidah Roslee menetapkan 19 Jan tahun depan untuk sebutan kes.

Pendakwaan dilakukan oleh Penolong Pendakwa Raya Nur Iffa Zarilla Abd Rahman dan Shahrul Iman Saharuddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tidak ada jaminan ditawarkan di keduadua mahkamah. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain