suria

Jumlah mangsa banjir di Bukit Merah terus bertambah

IPOH: Jumlah mangsa banjir di beberapa kampung di Bukit Merah, kira-kira 120 km dari sini, terus meningkat kepada 475 orang pagi ini, berbanding 409 orang semalam.

Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian berkata 66 orang daripada 14 keluarga dari Kampung Padang Lalang, Kampung Parit Jawa dan Kampung Batu 40, Jalan Keretapi telah dipindahkan kira-kira pukul 8 pagi ini.

Empat buah sekolah dijadikan pusat pemindahan iaitu Sekolah Kebangsaan Bukit Merah (117 orang), Sekolah Kebangsaan Bagan Serai (51), Sekolah Kebangsaan Alor Pongsu (203) dan Sekolah Kebangsan Haji Dahalan (104).

Katanya keadaan air yang melimpah dari Empangan Tasek Bukit Merah, berikutan hujan lebat sejak tiga hari lalu, di kampung-kampung terbabit masih bertahan sedalam 0.5 meter hingga satu meter.

"Mereka dipindahkan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Rela dan Jabatan Pertahanan Awam, manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat menyediakan bekalan makanan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Anggota Dewan Undangan Negeri Alor Pongsu Sham Mat Sahat berkata pemindahan itu adalah yang kedua dalam tempoh dua bulan akibat banjir kilat ekoran pelepasan air empangan berkenaan yang melebihi paras bahaya.

Banjir kali ini adalah lebih buruk ekoran hujan lebat sejak tiga hari lalu malah banjir turut melanda kampung-kampung yang sebelum ini tidak terlibat dengan banjir, katanya.

Katanya jumlah mangsa banjir kali ini mungkin bertambah jika hujan berterusan kerana paras air di Empangan Bukit Merah masih terlalu tinggi. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain