suria

Halang berpolitik elak cetus isu perkauman Idris

KUALA LUMPUR: Halangan penglibatan aktif mahasiswa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam bidang politik dapat mengelakkan wujudnya suasana perbezaan perkauman di negara ini.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Harun berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) yang dilihat menghalang penglibatan mahasiswa dalam bidang politik.

"Larangan ini adalah disebabkan hasil kajian yang telah dijalankan menunjukkan penglibatan mereka secara aktif akan mewujudkan ideologi dan perbezaan antara kaum-kaum," katanya.

Bagaimanapun jawapan yang diberikan itu mendapatkan bantahan daripada barisan pembangkang melalui suara-suara bising yang dicetuskan.

Tindakan pembangkang itu mengundang reaksi spontan Idris.

"Saya ingat pembangkang boleh berfikiran terbuka, bila saya bercakap bolehlah dengar sama.

"Ini tidak, nampak macam 'pembangkang kangkung' saja," katanya.

Jawapan tersebut menyebabkan pembangkang terus membuat bising.

Ahli Parlimen Tangga Batu itu meneruskan jawapannya dengan berkata apabila pindaan fasal 15 yang terkandung dalam AUKU diluluskan iaitu memberi kebenaran kepada mahasiswa untuk bergiat aktif menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dapat mengelakkan mereka dipengaruhi oleh parti-parti politik.

"Apabila fasal 15 ini diperkenalkan nanti kita dapat mengelakkan mereka terpengaruh dengan parti-parti politik yang boleh menyebabkan mereka kurang memberi tumpuan kepada pelajaran," katanya.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin turut mengemukakan soalan tambahan dengan mempersoalkan mengapa pelajar tempatan dihalang menyertai parti politik dalam negara sedangkan pelajar Malaysia yang menuntut di luar negara boleh menyertai persatuan dibawah pertubuhan politik yang ditubuhkan di luar.

Bagi soalan itu, Idris berkata pelajar di dalam negara bukan dihalang sepenuhnya untuk bergiat dalam politik atau mendalami ilmu berpolitik.

"Kita ada tawarkan kursus-kursus dalam bidang sains politik dan sebagainya, mereka boleh belajar mengenai politik secara langsung melalui kursus-kursus itu.

"Selain itu mereka juga ada pilihan raya kampus yang membolehkan mereka berpolitik dalam ruang lingkup mereka," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain