suria

ADUN PAS kecam tajuk utama muka depan akhbar tempatan

KOTA BAHARU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada sesi perbahasan hari ini panas seketika apabila beberapa anggota kerajaan membidas tajuk muka depan sebuah akhbar tempatan berhubung titah ucapan Sultan Kelantan semasa merasmikan dewan itu semalam. Mereka yang terdiri daripada beberapa ADUN PAS itu berpendapat tajuk "Sultan Murka Kerajaan PAS Gagal Tadbir Kelantan" sebenarnya tidak menepati apa yang sebenarnya berlaku.

Menurut mereka Sultan setakat menegur beberapa kelemahan pentadbiran kerajaan negeri.

Keadaan semakin panas apabila Drs Zainuddin Awang Hamat (PAS-Limbongan) mengesyorkan agar wartawan dari akhbar itu dilarang membuat liputan persidangan selama seminggu.

Zainuddin berpendapat tajuk itu telah mencemarkan imej kerajaan negeri dan berita itu telah membawa unsur tidak harmoni antara kerajaan dan Istana.

"Saya mohon akhbar terbabit menarik balik tajuk berita pada muka depan itu dan jika tidak wartawannya perlu dilarang membuat liputan lagi," katanya pada sesi perbahasan titah ucapan Sultan Kelantan. Syor Zainuddin itu disokong beberapa anggota PAS yang lain dan pada satu ketika Speaker, Mohd Nassuruddin Daud terpaksa menenangkan keadaan.

"Saya bagi masa kepada akhbar itu memohon maaf siarannya esok dan jika tidak, saya akan mengambil tindakan sewajarnya," kata Mohd Nassuruddin. Sultan Kelantan semalam pada titah ucapan perasmiannya itu telah menegur beberapa aspek kelemahan tadbir urus kerajaan negeri termasuk sektor pelancongan, pihak berkuasa tempatan, Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan institusi masjid.

Baginda turut menyentuh beberapa projek kerajaan Persekutuan termasuk pembinaan Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra yang berjalan tidak mengikut jadual.

Sementara itu ketua pembangkang, Datuk Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) meminta kerajaan Kelantan agar menyerahkan kesemua SAR kepada Kementerian Pelajaran untuk ditadbir dengan lebih baik. "Saya dapat laporan guru dan pelajar di 23 buah SAR yang telah diambil alih sangat gembira dengan keadaan sekarang dan saya rasa kerajaan negeri perlu mempertimbang untuk membenarkan kerajaan Pusat mentadbir SAR yang lain," katanya.

Ketika di luar dewan, Md Alwi turut meminta kerajaan Kelantan mengamalkan konsep penjimatan pada sektor tertentu bagi dijadikan tabungan ketika krisis ekonomi global.

Beliau juga mahukan Umno dan PAS mencari titik pertemuan yang membolehkan pemimpin duduk semeja membincangkan hala tuju bangsa, agama dan negara. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain