suria

Timbalan Presiden Nur Jazlan belum putus asa yakin dapat pencalonan

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamad masih yakin akan berpeluang untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno walaupun belum mendapat sebarang pencalonan sehingga semalam.

Nur Jazlan berkata, beliau akan menunggu sehingga minggu hadapan, apabila kira-kira tiga suku bahagian selesai bermesyuarat.

"Setakat ini, saya tetap akan teruskan niat untuk bertanding walaupun belum mendapat sebarang pencalonan.

"Kalau sehingga minggu depan saya masih tak dapat (pencalonan), maknanya peluang saya untuk bertanding semakin tipis.

"Jadi, nanti kita faham-faham sendirilah," katanya ketika dihubungi mStar Online, hari ini.

Nur Jazlan berkata, peringkat akar-umbi di bahagiannya menyokong hasrat beliau untuk bertanding jawatan kedua tertinggi dalam parti itu.

"Bahagian Umno Pulai akan mengadakan mesyuarat pemilihan pada Ahad depan.

"Mereka menyokong saya untuk bertanding tapi saya serahkan sepenuhnya kepada mereka untuk membuat keputusan," katanya.

Nur Jazlan berkata, beliau tetap komited untuk membawa suara orang muda ke peringkat yang lebih tinggi di dalam Umno.

"Saya bukan menawar diri (untuk bertanding) bagi mengejar jawatan tetapi untuk membawa mesej orang muda.

"Walaupun saya masih belum dicalonkan tapi apa yang saya suarakan sebelum ini iaitu mempercepatkan proses peremajaan Umno nampaknya diterima.

"Selain itu, kalau kita tengok sekarang, pencalonan bagi jawatan Naib Presiden didahului oleh golongan muda," katanya.

Nur Jazlan berkata, hal itu menunjukkan Umno menerima saranannya cuma tidak diterjemahkan dalam bentuk pencalonan.

Nur Jazlan adalah antara empat calon yang menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti Mac depan.

Tiga lagi adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini mendahului dengan 44 pencalonan dan merupakan satu-satunya calon yang telah melepasi kuota untuk bertanding, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, 13 pencalonan dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib dengan lapan pencalonan.

Sebanyak 65 bahagian telah bersidang sejak dua minggu lalu dan 126 lagi akan bersidang secara berperingkat sehingga 9 November depan.

Artikel Lain