suria

Pendirian Rafidah bertanding mengelirukan

ALOR STAR:Anggota Pergerakan Wanita Umno keliru dengan pelan peralihan kuasa pucuk pimpinan pergerakan itu dan mahu rasional peralihan diteliti semula, lebih-lebih lagi apabila Naib Ketuanya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil melepasi kuota kelayakan bagi bertanding jawatan ketua.

Timbul persoalan sama ada Shahrizat, yang kini mendapat 40 pencalonan untuk bertanding jawatan ketua pergerakan itu, sama ada bertanding jawatan ketua atau naib ketua, seperti mengikut pelan peralihan kuasa.

Antara persoalan adalah apakah rasionalnya Shahrizat bertanding jawatan naib ketua, jika beliau akan memangku jawatan ketua bagi tempoh selama tiga tahun selepas ketua Wanita Tan Sri Rafidah Aziz, yang mempertahankan jawatan, menyerahkan kuasa pada Jun depan dan bagaimana pengisian jawatan naib ketua?

Ketua Wanita Jerlun Datuk Maznah Abdul Hamid satu daripada Wanita Umno Bahagian di Kedah yang mencalonkan Shahrizat mendakwa hampir semua Wanita Umno Bahagian yang mencalonkan Shahrizat sebenarnya keliru dengan pelan peralihan kuasa pergerakan itu.

"Saya sendiri mencalonkan Shahrizat sebagai Ketua Wanita kerana kami keliru dengan pelan peralihan kuasa yang diumumkan oleh Rafidah sebab beliau tidak menyatakan rasional melepaskan jawatan setelah memenanginya kelak," kata Maznah.

Tegasnya belum ada lagi dalam mana-mana sejarah seseorang penyandang jawatan mengumumkan akan melepaskan jawatannya sebaik sahaja memenangi jawatan itu. Maznah berkata Rafidah mungkin perlu mempertimbangkan untuk mengikuti langkah presiden Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang membuat peralihan kuasa secara tersusun dengan tidak mempertahankan jawatan pada pemilihan parti Mac depan.

"Kebiasaannya seseorang penyandang akan mengumumkan untuk berundur di penghujung tempoh dan bukannya melepaskan selepas tiga bulan memenanginya," kata beliau.

Rafidah dalam kenyataannya baru-baru ini menyatakan beliau akan melepaskan jawatan pada pertengahan tahun hadapan bagi memberi laluan kepada Shahrizat memangku jawatan ketua pergerakan itu.

Walaupun Rafidah memberi alasan agar tidak berlaku pertandingan merebut jawatan, bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu harus akur dengan kehendak akar umbi yang berhak memilih siapakah pengganti beliau.

"Ahli harus diberi hak untuk memilih sesiapa yang mereka mahu dan perlu difikirkan juga bahawa pergerakan wanita tidak akan mempunyai naib ketua setelah beliau melepaskan jawatan kelak," kata Maznah. Maznah berkata tempoh tiga tahun adalah terlalu lama bagi Shahrizat memangku jawatan dan pada masa sama tidak mempunyai naib ketua untuk membantunya.

"Dalam tempoh tiga tahun macam-macam perubahan politik akan berlaku sedangkan pergerakan wanita akan terperangkap dengan kepimpinan yang tidak mantap kerana hanya dipimpin oleh seorang pemangku," kata beliau.

Maznah yakin sebagai pemimpin wanita paling lama dalam sejarah Umno, Rafidah mestilah bertindak secara rasional demi kepentingan parti.

"Kita tahu Rafidah begitu sayangkan parti dan mahukan supaya pergerakan wanita tidak mengalami pergolakan dan berpandangan jauh untuk melahirkan golongan pelapis yang bakal mewarisi perjuangan wanita," katanya, sambil menyatakan Shahrizat layak memimpin Wanita Umno dan bersedia menerima pencalonan sebagai ketua.

Maznah berkata beliau menghargai pendirian Shahrizat yang sentiasa menghormati dan mentaati ketua tetapi pada masa sama beliau mestilah berani berterus terang demi kepentingan parti.

"Kita perlukan seorang pemimpin yang berani, kuat dan tidak mementingkan kedudukan, disebabkan itu kita mahu Shahrizat menunjukkan ciriciri kepimpinan itu secara terang dan jelas," katanya yang mahu Shahrizat menyatakan pendirian berhubung pencalonan yang diterimanya.

Maznah mendakwa tindakan beliau mencalonkan Shahrizat menyebabkan pihak tertentu membuat panggilan telefon secara bertalutalu dan mengugut untuk tidak mencalonkannya sebagai anggota Exco Wanita.

"Saya tidak terlalu mengutamakan kedudukan, saya berani kerana benar dan saya mahu menegakkan kebenaran demi masa depan agama, bangsa dan negara, kata beliau. BERNAMA

Artikel Lain