suria

Peguam bantah surat izin pendakwaan terhadap Uthayakumar

KUALA LUMPUR:Mahkamah Sesyen di sini menangguhkan kes perbicaraan P.Uthayakumar, 47, yang menghadapi pertuduhan menerbitkan artikel berbentuk hasutan selepas pihak pembelaan membantah kertas surat izin untuk mendakwa yang ditandatangani oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Peguam bela N.Surendren yang mewakilinya, menimbulkan isu tersebut selepas beliau mendakwa kertas pendakwaan yang dibuat adalah bermotifkan dendam di antara Abdul Gani dan Uthayakumar.

Surendren mendakwa Abdul Gani pernah menengking tertuduh (Uthyakumar) dalam perbicaraan terbuka di Mahkamah Shah Alam ketika tertuduh mewakili 31 penyokong Hindraf (Hindu Rights Action Force) yang menghadapi pertuduhan membunuh dan Abdul Gani ada mengaitkannya dengan rancangan untuk mendapatkan bantuan daripada kumpulan pengganas Tamil Tigers di Sri Lanka.

Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran, membantah dengan menyatakan bahawa perbicaraan pada hari ini tidak ada kaitan langsung dengan dakwaan tersebut.

"Kami di sini menjalankan pendakwaan bagi kes ini dan kami tidak perlu menjawab apaapa soalan yang berkaitan dengan Peguam Negara.

Sekiranya pihak pembela ingin berhujah beliau perlu menghantar afidavit supaya Abdul Gani boleh menjawab segala persoalan yang ditimbulkan," katanya.

Raja Rozela menegaskan bahawa tidak ada apaapa kecacatan terhadap kertas pertuduhan yang telah dikeluarkan.

Hakim Sabariah Othman menetapkan 3 Feb depan bagi memberi keputusan terhadap isu tersebut.

Uthayakumar menghadapi pertuduhan menerbitkan sepucuk surat berbaur hasutan menerusi laman web http://policewatchmalaysia.com iaitu surat oleh Hindraf yang beralamat di No 1353A, Jalan Toman 7, Kemayan Square, Seremban, Negeri Sembilan, pada 15 Nov 2007.

Surat itu didakwa dialamatkan kepada Gordon Brown, Perdana Menteri United Kingdom, 10 Downing Street.

Sementara itu, perbicaraan terhadap peguam tersebut yang sepatutnya bermula pada sebelah pagi menjadi kecoh apabila beberapa penyokong bertindak agresif dengan mengeluarkan katakata kesat terhadap pegawai polis yang sedang bertugas.

Mereka bertindak demikian selepas tidak berpuas hati terhadap pegawai polis yang enggan membenarkan masuk ke dalam mahkamah tanpa memiliki pas yang telah disediakan bagi mengikuti perbicaraan.

Dalam keadaan berasakasak dan kelam kabut, seorang wanita telah pengsan dan dibawa ke hospital untuk rawatan. BERNAMA

Artikel Lain