suria

Nenek dan cucu cedera parah ditetak lelaki kurang siuman

KUANTAN: Seorang nenek berusia 72 tahun dan cucu perempuannya yang berusia lapan tahun cedera akibat ditetak dengan parang oleh seorang lelaki dipercayai kurang siuman di rumahnya di Kampung Sungai Ruan, Raub, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Raub, DSP Azhar Abdul Rahman berkata, ketika kejadian, suspek yang berusia 36 tahun dipercayai menceroboh masuk ke dalam rumah mangsa ketika cucunya sedang bermain seorang diri dalam rumah itu pada pukul 11 pagi.

Beliau berkata, mangsa yang terkejut dengan kehadiran suspek kemudiannya menjerit ketakutan sebelum neneknya datang untuk menyelamatkannya.

"Bagaimanapun suspek yang bersenjatakan parang bertindak menetak kedua-dua mangsa mengakibatkan mereka mengalami kecederaan di bahagian kepala dan tangan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Azhar berkata beberapa jiran mangsa yang terdengar jeritan mangsa bagaimanapun tidak dapat membantu apabila melihat suspek bersenjatakan dua bilah parang sebelum mereka memaklumkan kejadian itu kepada pihak polis.

Suspek kemudiannya melarikan diri dan bersembunyi di sebuah rumah yang terletak berdekatan rumah mangsa, katanya.

Katanya, polis yang menerima maklumat kejadian itu, kemudiannya berusaha memujuk suspek supaya menyerahkan diri namun gagal.

Berikutan itu, katanya, polis terpaksa meminta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Raub dengan membuat pancutan air bagi melemahkan suspek.

Suspek kemudiannya berjaya ditahan sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Raub untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, warga emas yang mengalami kecederaan di bahagian kepala dan tangan itu menerima rawatan pesakit luar di Hospital Raub manakala cucunya yang parah di bahagian kepala dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur.

Suspek yang dibawa ke Hospital Raub untuk pemeriksaan telah dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk pemeriksaan lanjut. BERNAMA

Artikel Lain