suria

Najib Malaysia tidak berada dalam keadaan krisis kewangan

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia tidak berada di dalam keadaan krisis kewangan dan tidak sepatutnya diperkatakan berada di dalam keadaan sedemikian.

Bagaimana pun, beliau, yang juga Menteri Kewangan, berkata ekonomi sebenar negara tidak dapat dielak akan menerima kesan negatif oleh cabaran kewangan semasa.

"Sambil kita berkeyakinan mengenai ketahanan sektor kewangan kita, kita beringat bahawa kegawatan kewangan di dalam pasaran lain akan memberi kesan terhadap ekonomi sebenar negara serta di seluruh dunia," katanya selepas merasmikan Forum Megatrends Khazanah.

Najib berkata dari perspektif kerajaan, pengurusan kesan impak ke atas ekonomi sebenar merupakan keutamaan teratas sambil kerajaan memastikan integriti sistem kewangan negara ini.

Katanya kemelesetan ekonomi global akan memberi impak ke atas permintaan bagi penggunaan budi bicara yang menjadi sebahagian dari eksport Malaysia.

"Agak jelas, sektor ekonomi yang boleh diniagakan akan menerima kesan secara negatif," katanya.

Pertumbuhan yang perlahan, kata Najib yang mulai ketara, akan memberi kesan terhadap permintaan yang perlahan bagi mendapatkan komoditi seperti yang dilihat di dalam penurunan harga komoditi yang termasuk harga minyak mentah.

"Kemerosotan harga minyak sawit dan getah akan memberi kesan terhadap perolehan syarikat perladangan dan pekebun kecil kita," katanya.

Dengan itu, katanya pemacu pertumbuhan ekonomi mampan perlu dilakukan oleh pelaburan swasta domestik dan penggunaan domestik yang kukuh yang berterusan. BERNAMA

Artikel Lain