suria

Jerlun calonkan gandingan Najib dan Muhd Taib

KUALA LUMPUR:Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menambah satu lagi pencalonan untuk jawatan Presiden Umno, kali ini daripada Bahagian Jerlun, menjadikan sejumlah 65 pencalonan yang beliau terima bagi jawatan itu sehingga kini.

Najib yang kekal sebagai calon tunggal untuk jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti Mac depan, telah melepasi kuota kelayakan sekurangkurangnya 58 pencalonan semalam.

Bahagian Jerlun yang merupakan satu-satunya bahagian Umno yang bersidang hari ini, mencalonkan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Tan Sri Muhammad Muhamad Taib untuk jawatan timbalan presiden dan menjadikan jumlah pencalonan yang diterimanya bagi jawatan itu kepada sembilan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melepasi kuota kelayakan bagi bertanding jawatan itu semalam dengan mengumpul 45 pencalonan setakat ini manakala Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam menerima 11 pencalonan.

Kuota kelayakan bagi membolehkan seseorang anggota bertanding jawatan timbalan presiden ialah sekurangkurangnya 39 pencalonan.

Bagi jawatan naib presiden, bahagian Jerlun mencalonkan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang masingmasing kini mengumpul 53, enam dan 30 pencalonan.

Pemimpin lain yang telah menerima pencalonan bagi jawatan naib presiden ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mendapat 36 pencalonan setakat ini, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (32), Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar (12), Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim (6), bekas Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad (6) bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis (4), Pengerusi Risda Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik (4) dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hassan (2).

Sementara itu untuk pemilihan Wanita Umno juga pada Mac depan, naib ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil terus mendapat pencalonan bagi jawatan ketua pergerakan itu dan terbaru hari ini daripada Wanita Umno bahagian Beluran.

Biarpun sudah mempersetujui untuk mengikuti pelan peralihan kuasa bersama penyandang Ketua Wanita Tan Sri Rafidah Aziz pada Jun 2009, sehingga kini Shahrizat mengumpul 41 pencalonan dan telah melayakkan diri bertanding jawatan ketua pergerakan itu. Sementara itu, Rafidah telah mengumpul 78 pencalonan bagi mempertahankan jawatan Ketua Wanita manakala Shahrizat juga mengumpul 78 pencalonan bagi jawatan naib ketua Wanita.

Bagi jawatan naib ketua Wanita, Ketua Umno Bahagian Kuala Kangsar Datuk Kamilia Ibrahim menambah satu pencalonan daripada bahagian Beluran dan menjadikan jumlah pencalonan yang diterima bagi jawatan itu kepada 27.

Sehingga hari ini, 118 daripada 191 Wanita Bahagian telah menamatkan persidangan masing-masing. BERNAMA

Artikel Lain