suria

Belasah polis sebab bengang kena saman

KANGAR: Seorang lelaki yang mendendami seorang anggota polis yang menyamannya atas kesalahan jalan raya awal bulan ini, bertindak membelasah konstabel tersebut apabila terserempak dengannya malam tadi di Batas Lintang, Simpang Empat dekat sini.

Lelaki tersebut bersama rakanrakannya membelasah Mohd Rizal Yahya yang sedang makan di sebuah gerai bersama tunangnya pada 10.30 malam.

Mohd Rizal cedera pada muka dan tangannya. Dua kerusi plastik di kedai itu turut pecah.

Anggota tersebut memberitahu pemberita, beliau percaya kejadian tersebut berpunca daripada persaan tidak puas hati lelaki berkenaan yang disamannya pada 8 Okt lalu.

Dalam kejadian itu, beliau berkata beliau telah dipanggil ke sebuah meja berhampiran yang diduduki lima lelaki dan salah seorang daripada mereka menunjukkan satu surat saman dan memintanya menarik balik saman itu.

"Saya katakan saman yang dikeluarkan tidak boleh ditarik balik," kata Mohd Rizal.

Mendengar jawapan itu, beliau lantas ditumbuk beberapa kali di bahagian mula serta dipukul dengan menggunakan kerusi plastik sebelum dileraikan oleh orang ramai di situ.

Beliau kemudian membuat laporan di Balai Polis Simpang Empat sebelum mendapat rawatan sebagai pesakit luar di sebuah klinik.

Mengimbas kembali pengeluaran saman tersebut, Mohd Rizal berkata beliau mengeluarkan saman itu setelah menahan sebuah motosikal yang tidak mempunyai cermin sisi serta nombor pendaftaran, semasa rondaan di sekitar Pekan Simpang Empat.

Ketua Polis Balai Simpang Empat, Sarjan Mejar Abdul Hamid Mohamad menziarahi Mohd Rizal di rumah sewanya hari ini.

Ketua Polis Daerah Kangar, Supt Yusof Mohd Diah mengesahkan seorang lelaki telah ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan. BERNAMA

Artikel Lain