suria

Umno Gerik minta semua hormat pelan peralihan elak perpecahan

PENGKALAN HULU: Umno Bahagian Gerik hari ini mahu semua pihak di dalam parti menghormati pelan peralihan kuasa yang ditetapkan Mac depan bagi mengelak berlakunya masalah lebih besar pada Umno iaitu perpecahan.

Ketuanya, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali berkata tiada masalah yang lebih hebat selain daripada perpecahan yang boleh melanda parti jika masih ada pihak terus menjadikan isu terhadap pelan peralihan berkenaan.

Ketika bercakap kepada pemberita di luar mesyuarat perwakilan bahagian itu di sini, Tajol berharap tidak akan timbul lagi desakan supaya dipercepatkan pelan peralihan atau pemilihan parti yang telah dipersetujui ditunda kepada Mac depan.

Beliau berkata pelan peralihan kuasa telah dipersetujui melalui perbincangan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan biarlah ia berjalan lancar.

"Kita (anggota Umno) tentunya tidak mahu berlaku perkara seperti itu (perpecahan) dalam keadaan Umno yang lemah sekarang," katanya.

Dalam perkembangan lain, Tajol Rosli berkata Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe perlu memberi penjelasan segera berhubung kenyataannya bahawa orang Melayu di negara ini adalah pendatang dan telah menimbulkan kemarahan orang Melayu.

Beliau berkata, Tan selaku pemimpin sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu memberikan penjelasan seperti yang telah diminta oleh Abdullah selaku pengerusi BN.

"Kita (Umno) di Gerik juga sedang menunggu penjelasan beliau," katanya.

Tan merupakan anggota Parlimen Gerik dan Timbalan Menteri Penerangan. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain