suria

Syor Khairy ditahan ISA media didakwa salah tafsir

KUALA LUMPUR Ketua Pemuda MCA yang baru, Datuk Dr. Wee Ka Siong menyifatkan media membuat rumusan yang tidak tepat berhubung isu perwakilan MCA mahu Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Saya rasa kalau kita lihat sesuatu isu dari sudut yang sempit dan ringkaskan apa yang perwakilan cakap, bermakna ia merupakan satu rumusan yang tidak tepat,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma MCA hari ini.

Kelmarin semasa perbahasan sayap Pemuda MCA, seorang perwakilan dari Perak dalam ucapan perbahasannya berkata, ISA wajar dihapuskan dan kerajaan perlu memantau penggunaannya.

Perwakilan berkenaan menyelar tindakan kerajaan menahan seorang Sin Chew Daily yang didakwa menulis berhubung isu kontroversi Datuk Ahmad Ismail, yang melabelkan orang Cina sebagai pendatang di negara ini.

Beliau turut membuat perbandingan dengan berkata, jika akta berkenaan perlu digunakan kepada wartawan berkenaan, maka Khairy juga perlu ditahan di bawah akta tersebut.

Khairy sebelum ini mempertikaikan kuota pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam kepada Bukan Bumiputera.

Wee yang Timbalan Menteri Pelajaran yakin apa yang didengar dalam konteks cerita yang disampaikan oleh perwakilan berkenaan sudah disalah tafsir oleh para pemberita.

"Tapi kalau kita dengar dengan teliti bukannya dia cakap nak tahan Khairy. Kita kena tengok konteks apa, kenapa dia sebut begitu.

"Saya minta anda semua rujuk balik, kalau ada pita rakaman tengok balik. Jangan kita ringkaskan dan jadikan rumusan dan perkara di tengah-tengah itu kita potong dan sunting,” katanya.

Menurut Wee, perbahasan merupakan satu platform untuk mereka menyuarakan pandangan masing-masing dan para perwakilan bebas bersuara apa yang mereka rasakan perlu.

Ditanya adakah media telah salah tafsir apa yang diperkatakan oleh perwakilan berkenaan Wee berkata:

"Saya tidak akan cakap macam tu. Nanti esok akan jadi terperangkap pulak. Saya minta lihat secara keseluruhan dari mula apa yang dia cakap. Ini kerana saya duduk di dalam dan para perwakilan dan pemberita juga dan buat perbandingan apa yang dia kata.”

Jelasnya, beliau serta pemimpin parti yang lain sentiasa menerima sebarang kritikan yang ditujukan kepada mereka.

"Kita pucuk pimpinan tidak kebal dan kita menerima sebarang kritikan terhadap kita atau siapa saja. kita dengar sahaja. Itu adalah pandangan daripada perwakilan dan apa yang disuarakan oleh mereka," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain