suria

RESOLUSI PERHIMPUNAN AGUNG TAHUNAN MCA KE55

Menerusi Perhimpunan Agung MCA ke-55 yang diadakan sejak Jumaat lalu, tujuh resolusi telah dicapai dalam usaha memantapkan semula parti komponen Barisan Nasional (BN) itu dan juga kerajaan.

Tujuh resolusi tersebut ialah yang berkaitan dengan hal ehwal parti, politik, hal ehwal kerajaan, ekonomi, pendidikan, kebebasan agama dan sosial.

1) Hal-Ehwal Parti

1.1 Perhimpunan Agung merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sumbangan dan jasa Presiden YB Dato’ Seri Ong Ka Ting, Timbalan Presiden Tan Sri Chan Kong Choy dan para ahli Jawatankuasa Pusat kepada MCA.

1.2 Perhimpunan Agung menyokong penuh usaha-usaha pembaharuan MCA menerusi empat nilai utama Parti iaitu prinsip demokrasi, hak rakyat yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, berjiwa rakyat dan Aspirasi Nasional dan bergerak ke arah “Semangat Mentadbir Bersama Rakyat, Berkongsi Sumber Antara Kaum” dan pada masa yang sama, menggesa ahli-ahli parti terus bersatu dan mempertahankan semangat berpasukan untuk berkhidmat kepada rakyat.

2) Politik

2.1 Perhimpunan Agung menggesa kerajaan untuk memberi penekanan kepada hak-hak asasi manusia sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan dan turut menggesa semua parti politik untuk menghentikan “politicking” serta kembali kepada matlamat asal politik iaitu mengekalkan kestabilan negara dalam mewujudkan sebuah Malaysia yang adil, demokratik dan liberal.

3) Hal-Ehwal Kerajaan

3.1 Perhimpunan Agung menggesa kerajaan agar mengkaji semula Akta Anti Rasuah 1997 bagi mengubah status Badan Pencegah Rasuah (BPR) kepada Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia (MCAC) manakala pada masa yang sama, mewujudkan sebuah Jawatankuasa Parlimen Mengenai Pencegahan Rasuah bagi memastikan BPR bebas dan berkuasa untuk mendakwa suspek-suspek terlibat. Langkah ini penting bagi menunjukkan kerajaan serius dalam usaha membasmi rasuah.

3.2 Perhimpunan Agung menyaran kerajaan untuk meminda Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) serta mewujudkan satu sistem yang berkesan bagi memantau penggunaan ISA selain menjamin bahawa akta berkenaan hanya digunakan dalam kes-kes membabitkan pengganas dan elemen subversif.

3.3 Perhimpunan Agung menggesa kerajaan memperkasakan proses reformasi sistem kehakiman dan menubuhkan Suruhanjaya Kehakiman yang terdiri daripada mereka yang mempunyai rekod pencapaian cemerlang dalam bidang perundangan dan bermoral tinggi untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman.

3.4 Perhimpunan Agung meminta kerajaan bertindak lebih tegas untuk mengenakan hukuman terhadap pegawai-pegawai yang didapati menyalahgunakan kuasa dan rasuah. Di samping itu, memberi pengiktirafan kepada pegawai-pegawai yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam tugas-tugas mereka.

4) Ekonomi

4.1 Perhimpunan Agung memandang berat terhadap krisis kewangan global yang dijangka memberi impak besar kepada ekonomi Malaysia. Sehubungan itu, Perhimpunan Agung menggesa kerajaan mengkaji kembali dan merombak dasar makroekonomi utama seperti Akta Kordinasi Industri (Industrial Coordination Act), Panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing (Foreign Investment Committee) dengan segera supaya semua sektor ekonomi dapat diliberalisasikan bagi merangsangkan ekonomi negara serta meningkatkan tahap daya-saing Malaysia di peringkat global serta pendapatan rakyat Malaysia.

4.2 Perhimpunan Agung menggesa kerajaan untuk melaksanakan semula kemudahan mikro kredit yang berfaedah rendah bagi menggalakkan kebebasan ekonomi untuk membantu golongan berpendapatan rendah dan kumpulan perniagaan kecil-kecilan.

4.3 Selaras dengan amalan “good governance”, Perhimpunan Agung menggesa kerajaan merombak semua mekanisme yang diguna dalam Pemberian Permit AP, subsidi dan kawalan harga sebagai langkah mencegah penyalahgunaan serta menjamin sumber-sumber disalurkan secara teratur kepada golongan berpendapatan rendah.

4.4 Perhimpunan Agung menggesa kerajaan untuk mempelbagaikan sumber pendapatan fiskalnya agar cukai pendapatan persendirian dan korporat dapat dikurangkan secara berperingkat dalam usaha meningkatkan pendapatan rakyat dan daya-saing pelaburan dan perniagaan Malaysia.

4.5 Perhimpunan Agung menyeru kerajaan untuk melaksanakan struktur upah minimum dalam sektor-sektor kritikal terpilih seperti pertanian, komoditi, industri perkhidmatan supaya pendapatan rakyat dapat dinaikkan. Struktur upah minimum adalah perlu untuk melindungi golongan pendapatan rendah daripada dieksploitasi. Sebuah Majlis Upah patut ditubuhkan untuk memantau dan melaksanakan dasar upah minimum.

5) Pendidikan

5.1 Perhimpunan Agung menggesa kerajaan untuk membina sekolah-sekolah pelbagai aliran termasuk menginstitusikan pembangunan SJK (C) sejajar dengan keperluan komuniti tempatan, serta menghapuskan perbezaan dari segi layanan antara sekolah bantuan penuh dan sekolah bantuan modal.

5.2 Perhimpunan Agung menggesa Kementerian Pelajaran untuk mengembalikan penggunaan bahasa ibunda dalam mata pelajaran Matematik dan Sains di sekolah rendah, di samping menggunakan pendekatan lain untuk meningkatkan prestasi murid dalam Bahasa Inggeris.

5.3 Perhimpunan Agung menyeru kerajaan untuk melantik lebih banyak calon bukan bumiputera yang berkaliber dan berpengalaman untuk menjadi Naib Canselor di Institusi Pengajian Tinggi Awam(IPTA) supaya nilai majmuk dapat diterapkan serta prestasi universiti dapat ditingkatkan secara keseluruhan.

6) Kebebasan Agama

6.1 Perhimpunan Agung mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak kebebasan beragama rakyat, dan menegaskan undang-undang Syariah tidak boleh digunapakai ke atas masyarakat bukan Islam. Apabila seorang suami atau isteri memeluk agama Islam, hak-hak suami atau isteri yang tidak memeluk agama Islam mestilah dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan di mana perceraian, pengagihan aset perkahwinan, hak jagaan dan agama anak-anak mestilah diputus berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang perkahwinan sivil sebagai asasnya. Kes-kes pertikaian sedemikian harus diselesaikan di bawah mahkamah sivil.

6.2 Perhimpunan Agung menggesa semua kerajaan negeri melaksanakan Garis Panduan Pembinaan Tempat Ibadat Bukan Islam seperti yang diterimapakai oleh Majlis Negara Kerajaan Tempatan bagi menjamin semua agama dapat berkembang dengan bebas tanpa halangan dari mana-mana pihak.

7) Sosial

7.1 Perhimpunan Agung meminta kerajaan untuk menubuhkan IPCMC dengan segera dan mengambil tindakan sewajarnya untuk meningkatkan bilangan anggota pasukan polis. Pendekatan tersebut mampu mengukuhkan hubungan antara pasukan polis dan rakyat untuk memerangi masalah jenayah yang semakin berleluasa.

7.2 Perhimpunan Agung menggesa kerajaan untuk menggubal dasar-dasar jangka panjang terhadap pekerja-pekerja asing supaya tidak menjejaskan peluang pekerjaan rakyat tempatan serta dapat memenuhi keperluan negara bagi mengurangkan gejala sosial yang tidak diingini.

7.3 Perhimpunan Agung menggesa kerajaan persekutuan meneliti keperluan penduduk-penduduk Sabah dan Sarawak dengan menyediakan infrastruktur dan kemudahan awam yang mencukupi untuk meningkatkan keadaan ekonomi kedua-dua negeri ini.

7.4 Perhimpunan Agung memandang berat terhadap insiden kerakyatan Malaysia diperolehi oleh pendatang-pendatang asing di Sabah dan Sarawak melalui cara yang tidak sah dan menyeru kerajaan persekutuan menpercepatkan kelulusan status Penduduk Tetap kepada semua pemohon yang telah memenuhi syarat-syarat yang diperuntukkan dan untuk tujuan ini, kerajaan perlu menginstitusikan prosedur-prosedur tersebut secepat mungkin.

7.5 Perhimpunan Agung menggesa kerajaan memperkenalkan dasar-dasar kebajikan dalam membantu rakyat yang kurang upaya, ibubapa tunggal, masyarakat peribumi dan golongan miskin. Dasar-dasar ini boleh dilakukan dengan memberikan latihan dan peluang-peluang pekerjaan bagi membolehkan golongan berkenaan berdikari dan memperbaiki keadaan hidup mereka.

Artikel Berikut

Artikel Lain