suria

Pemilihan MCA Soi Lek buat kejutan Yen Yen cipta sejarah

PETALING JAYA: Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek mencipta kejutan apabila memenangi jawatan Timbalan Presiden MCA dan menyatakan beliau akan bekerjasama dengan Presiden baru parti Datuk Ong Tee Keat.

"Saya yakin saya boleh bekerjasama dengan Presiden Ong Tee Keat bersama Jawatankuasa Kerja Pusat yang baru.

"Kami akan bersama-sama membentuk semula dan merancang imej baru buat MCA yang akan memenuhi harapan dan aspirasi masyarakat Cina," kata beliau sejurus selepas diumumkan memenangi jawatan kedua tertinggi MCA itu di ibu negara semalam.

Soi Lek berkata, beliau sentiasa yakin kepada kebijaksanaan dan kematangan perwakilan yang mengundinya walaupun beliau sebelum ini telah meletakkan jawatan, dengan menyatakan mereka tahu memisahkan antara perkara umum dan perkara peribadi.

Bekas Menteri Kesihatan dan bekas Naib Presiden MCA itu meletakkan jawatannya awal Januari lalu berikutan skandal seks yang dirakamkan dan disiarkan dalam internet.

Soi Lek menewaskan bekas Setiausaha Agung MCA dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Chuan.

Beliau memperoleh 1,115 undi berbanding Ka Chuan hanya 1,001 undi, sekali gus mengejutkan banyak pihak dalam parti.

Sementara itu, bekas Menteri Pelancongan Datuk Donald Lim Siang Chai dan Timbalan Pengerusi MCA Tanjung, masing-masing mendapat 209 dan 10 undi.

Pemilihan MCA juga memperlihatkan kelainan apabila buat pertama kali dalam sejarah MCA sejak penubuhannya 59 tahun lalu, Datuk Dr. Ng Yen Yen menjadi wanita pertama memenangi jawatan Naib Presiden MCA.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu yang meraih undi ketiga tertinggi bagi jawatan itu, juga merupakan calon wanita pertama pernah memenangi kedudukan yang begitu tinggi dalam gabungan Barisan Nasional (BN).

Yen Yen meraih 1,659 undi.

Selain beliau, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Kong Cho Ha mendapat 1,798 undi; Menteri Kesihatan Datuk Liow Tiong Lai (1,725) dan Tan Kok Hong (1,329) untuk tiga lagi jawatan Naib Presiden.

Kira-kira 2,378 perwakilan mengundi pada pemilihan parti di perhimpunan yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Yen Yen yang mempunyai pengalaman berkhidmat 35 tahun dalam parti berkata kemenangannya adalah detik paling bersejarah baginya. "Sejak MCA ditubuhkan 59 tahun lalu, belum pernah ada wanita bertanding dan memenangi jawatan Naib Presiden.

"Ini akan menjadi trendsetter dan tandaras bagi seseorang wanita dalam parti untuk terus memegang dan memenangi kedudukan pemimpin pada masa depan.

"Kemenangan saya jelas menunjukkan bahawa masa depan wanita dalam memegang jawatan tinggi dalam parti semakin cerah," kata Ahli Parlimen Raub ini.

Sementara itu, Cho Ha yang mendapat undi tertinggi bagi jawatan naib presiden berkata jawatannya sebagai timbalan menteri tidak pernah mempengaruhi undian untuknya.

"Terima kasih kepada semua perwakilan yang mempunyai keyakinan terhadap kebolehan saya. Ini adalah permulaan satu tanggungjawab untuk saya menyumbang lebih banyak untuk parti ini kerana tugas dan cabaran kita amat berat sekali terutamanya selepas kalah teruk pada pilihan raya lepas," katanya.

Beliau juga berharap calon yang tidak berjaya dalam pemilihan parti itu dapat sama-sama memberi sokongan kepada pemenang bagi menghadapi cabaran akan datang.

Artikel Berikut

Artikel Lain