suria

NGO terus desak kerajaan kaji semula atau mansuh ISA

KUALA LUMPUR Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Majlis Peguam hari ini terus menganjurkan majlis "Kempen Mansuhkan ISA" bagi mendesak kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atau mengkajinya semula.

Pertemuan hari ini dihadiri Majlis Peguam dan lima NGO lain iaitu Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (UCSCAM), Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (UCSTAM) dan The Federation of Chinese Assembly Hall (FCAM).

Jurucakap majlis itu, Lim Chee Wee yang juga Setiausaha Majlis Peguam berkata sehingga ini 70 orang masih ditahan dibawah akta tersebut di Kem Kemunting, Taiping, Perak.

Menurut Lim semua memorandum bagi menyokong usaha memansuhkan ISA yang dikumpulkan akan diserahkan kepada Perdana Menteri akhir bulan ini.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata kerajaan tidak bercadang untuk mengkaji semula akta itu memandangkan keperluannya masih ada dan ia masih praktikal untuk digunakan.

Turut hadir pada majlis hari ini ialah Presiden GMI, Syed Ibrahim Syed Noh, Presiden FCAM, Tan Sri Lim Gait Tong, Presiden KLSCAH, Datuk Bong Hon Gong, Presiden UCSAM, Dr Yap Sin Tian dan Presiden USCTAM, Ong Chiow Chuen.

Pada majlis itu juga, sekumpulan remaja yang menggelarkan diri mereka sebagai Malaysian Youth and Student Democratic Movement (DEMA) turut melakonkan adegan bagaimana tahanan ISA dikasari semasa dalam tahanan.

Sementara itu pihak media turut dikecam oleh keluarga tahanan ISA yang ada pada majlis itu yang mendakwa media banyak memutarbelitkan fakta berhubung tahanan ISA.

Pertemuan hari ini berjalan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini dengan anggota polis berkawal di perkarangan dewan berkenaan. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain