suria

Khairy gagal kuasai pencalonan Pemuda Putrajaya

PETALING JAYA: Ketika ramai melihat Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin akan menguasai pencalonan Pemuda Putrajaya, sebaliknya bahagian itu semalam menamakan Datuk Mukhriz Mahathir sebagai calon Ketua Pemuda.

Bahagian itu juga mencalonkan Datuk Razali Ibrahim untuk bertanding kerusi Naib Ketua Pemuda.

Mukhriz kini mendahului pencalonan Ketua Pemuda Umno dan sudah pun layak untuk bertanding jawatan tersebut.

Khairy belum memperoleh pencalonan minimum sehingga semalam.

Dalam pengundian diadakan semalam, Mukhriz mendapat 33 undi manakala bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohf. Khir Toyo memperoleh 32 undi dan Khairy pula mendapat 22 undi.

Bagi jawatan Naib Ketua, Razali mendapat 54 undi manakala pencabarnya, Datuk Reezal Marican Naina Marican memperoleh 34 undi.

Penyandang jawatan Ketua Pemuda Umno Putrajaya, Datuk Ahmad Zaki Zahid berjaya mengekalkan jawatannya itu walaupun menang tipis dengan kelebihan tiga undi.

Ahmad Zaki, 37, yang menyandang jawatan itu sejak 2002, memperoleh 46 undi, berbanding pencabarnya Tun Faisal Ismail Aziz yang mendapat 43 undi, dalam mesyuarat perwakilan pergerakan itu.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Ahmad Zaki, Pegawai Khas kepada Perdana Menteri berkata, beliau bersyukur diberikan peluang kedua untuk menerajui perwakilan itu di peringkat bahagian walaupun terpaksa berdepan dengan saingan sengit.

Bagi jawatan Naib Pemuda Bahagian pula, bekas Setiausaha Pemuda Bahagian, Mohd Hisamudin Yahya menjadi pilihan perwakilan dengan jumlah 59 undi, berbanding saingannya Mohd Sharel Azlee Zaini 38 undi.

Pergerakan Wanita Bahagian Putrajaya bagaimanapun mencipta kejutan apabila penyandang ketua pergerakan itu ditewaskan oleh bekas naibnya sendiri iaitu Sadiah Bakar.

Sadiah, Ketua Cawangan Anggerik, menang dengan kelebihan enam undi dalam perlawanan tiga penjuru itu, menewaskan penyandang Azizah Mohd Nor dan seorang lagi calon iaitu Zarina Ismail, yang sebelum ini merupakan ahli jawatankuasa (AJK) bahagian.

Pergerakan Puteri Putrajaya pula akan diterajui oleh Hamiza Abdullah Zawawi, yang menang tanpa bertanding.

Artikel Berikut

Artikel Lain