suria

Ka Ting Kongsi kuasa BN hanya dianggap slogan cakap mulut

KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Datuk Seri Ong Kat Ting dalam ucapan dasarnya yang terakhir berkata, Umno dilihat sebagai parti lebih dominan daripada parti-parti komponen lain dalam Barisan Nasional (BN.

Sehubungan itu kata beliau, pucuk pimpinan BN perlu membetulkan keadaan tersebut melalui amalan yang benar-benar melibatkan parti-parti komponen dalam membuat segala keputusan penting, bukan "dinampak seolah-olah Umno yang memutuskan dasar penting sementara parti-parti lain diminta mempertahankannya kemudian atas semangat BN."

"Slogan kongsi kuasa yang kerap dikata itu masih dianggap sebagai slogan cakap mulut sahaja," kata beliau pada Perhimpunan Agung Tahunan MCA di sini.

Beliau yang menyentuh beberapa isu yang memerlukan tindakan kerajaan, termasuk yang menyumbangkan kepada keputusan pilihan raya umum ke-12 Mac lalu berkata, "apa yang membimbangkan MCA ialah walaupun kami sudah banyak membangkitkan perkara tersebut untuk ditangani oleh kerajaan, tetapi penyelesaiannya tidak sampai tahap yang memuaskan."

"Situasi bertambah buruk apabila ramai orang mempunyai persepsi bahawa kongsi kuasa BN tidak benar-benar berkesan dan saksama," katanya.

Tambah beliau, pelaksanaan dasar ekonomi yang afirmatif sepatutnya berasaskan kepada prinsip tidak mengetepikan pihak lain.

"Ia sepatutnya dilakukan dengan menjadikan kek ekonomi lebih besar dan juga menggalakkan usaha sama antara kaum.

"Pelaksanaan dasar ini juga tidak sepatutnya mengehadkan mana-mana peniaga atau pelabur yang cuba mengembangkan perniagaan atau pelaburannya atas kejayaan usaha diri sendiri," kata beliau lagi.

Bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu menambah, kerajaan BN perlulah melihat dan menilai semula pelbagai kelemahan atau penyelewengan dalam pelaksanaan dasar ekonomi yang sebenarnya lain daripada "apa yang kita janji" kepada masyarakat majmuk negara ini.

"Sudah tibalah masanya kerajaan meliberalisasikan dasar ekonomi untuk menjadi Malaysia benar-benar kompetitif," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain