suria

Jawatan Kabinet Soi Lek serah kepada Presiden MCA

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden MCA baru, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek menyerahkan kepada Presidennya, Datuk Ong Tee Keat untuk menentukan sama ada beliau akan menamakannya untuk dilantik semula sebagai anggota Kabinet menerusi jawatan Senator.

Januari lalu, Soi Lek yang merupakan Menteri Kesihatan ketika itu meletakkan jawatannya dalam parti dan kerajaan ekoran tersebaranya video seks beliau.

Beliau enggan mengulas lanjut mengenai kemungkinan beliau akan dilantik sebagai senator dan memegang semula jawatan penting dalam Kabinet memandangkan beliau kini memegang jawatan kedua tertinggi dalam MCA.

Ketika ditanya sama ada calon Timbalan Presiden, Datuk Seri Ong Ka Chuan yang tewas kepadanya dalam perebutan jawatan yang sama pada pemilihan semalam akan dilantik sebagai Setiausaha Agung, beliau berkata:

"Biarlah kita menyerahkan perkara itu kepada Presiden untuk menentukannya. Kami akan mempertimbangkannya sekiranya terdapat orang mengemukakan cadangan itu."

Ditanya tentang komennya apabila Tee Keat turut menyerangnya secara peribadi sepanjang kempen pemilihan parti, Soi Lek menegaskan, ia tidak akan mempengaruhi kerjasama antara beliau dengan Tee keat.

"Serangan peribadi pasti akan wujud dalam sebarang pemilihan. Ada kalanya sesetengah pihak akan membuat sesuatu untuk memburukkan nama pihak lain. Inilah yang dikatakan politik.

"Kalau kita lihat kepada pemilihan Presiden di Amerika Syarikat, keadaan itu (serangan peribadi) lagi ketara. Serangan antara Hilary dan Obama lagi ketara, tetapi Hilary akhirnya membantu Obama untuk meraih undi, ini menunjukkan mereka lebih mengutamakan parti," jelasnya.

Beliau turut menegaskan akan bekerjasama dengan sesiapa yang dilantik sebagai Presiden dan ahli Jawatankuasa Pusat untuk memimpin parti.

Artikel Berikut

Artikel Lain