suria

SEKITAR PERHIMPUNAN AGUNG TAHUNAN WANITA MCA

Wanita MCA gesa pembaharuan BPR, kehakiman

KUALA LUMPUR: Wanita MCA meminta supaya kerajaan melaksanakan segera pembaharuan dalam Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan kehakiman, di samping menggesa supaya ditubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), dalam usaha mengembalikan semula sokongan rakyat.

Pergerakan itu percaya langkah tersebut dapat mengurangkan penyalahgunaan kuasa dalam badan kehakiman, BPR, dan juga jabatan polis.

Perkara itu merupakan salah satu daripada sembilan resolusi yang diluluskan oleh Wanita MCA pada Perhimpunan Agung Tahunannya yang ke-33, yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Selain daripada resolusi berhubung pembaharuan dalam badan kehakiman dan BPR, perhimpunan itu juga meluluskan resolusi yang berkaitan dengan politik, ekonomi, hal ehwal parti, pendidikan, keselamatan serta sosial, wanita, keluarga, kesihatan dan juga aspek undang-undang.

Perhimpunan itu turut menggesa kerajaan bertindak tegas terhadap laporan Ketua Audit Negara yang mendedahkan kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh beberapa jabatan kerajaan, dan menghukum mereka menyalah guna kuasa.

Bagi memastikan dana negara digunakan dengan sebaiknya, perhimpunan itu juga mahukan supaya semua jabatan kerajaan, bermula sejak laporan Ketua Audit Negara dikeluarkan, merombak semula pengurusannya bagi meningkatkan keberkesanan.

Wanita MCA juga menggesa kerajaan mengambil pelbagai langkah untuk menangani isu kekurangan makanan global, dengan memberikan tanah dan insentif kepada para petani, termasuk memajak tanah pertanian bagi membantu meningkatkan teknologi pengeluaran dan hasil mereka.

Dalam usaha mengurangkan tekanan inflasi, Wanita MCA menggesa kerajaan mengambil langkah efektif bagi mengatasi masalah yang berlaku ekoran kenaikan harga itu, antaranya dengan cara mengurangkan kadar tol serta menghapuskan cukai jalan.

Sayap wanita itu juga mencadangkan kerajaan mengagihkan peluang-peluang perniagaan dengan lebih adil buat semua kaum, di samping membantu dalam memberikan pinjaman dan insentif kepada peniaga.

Dengan berbuat demikian, Wanita MCA merasakan ia akan dapat menarik lebih ramai pelabur asing, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta meningkatkan pembangunan ekonomi.

Menyedari bahawa kualiti pendidikan yang tinggi merupakan kunci kepada pembangunan ekonomi negara, sayap parti itu juga berkata, kerajaan seharusnya menimbangkan supaya menjadikan pemilihan para pelajar ke universiti dibuat berdasarkan kepada meritokrasi, dan membuka sepenuhnya pengambilan pelajar di universiti-universiti serta pra universiti kepada pelajar pelbagai etnik.

Pergerakan itu juga mahukan supaya kerajaan mewujudkan suasana persekitaran kerja yang lebih mesra kepada kaum wanita, termasuk menggalakkan waktu kerja yang fleksibel, membanyakkan pusat jagaan kanak-kanak, memberikan insentif kepada program penjagaan anak-anak di rumah dan menyediakan program latihan semasa bekerja yang berkesan.

Ia juga mahukan supaya semua parti-parti politik menggalakkan perubahan dengan menggunakan dasar-dasar penyelidikan yang efektif bagi menjayakan dasar 30 peratus perwakilan wanita di semua peringkat kepimpinan.

Yen Yen yakin kemampuan Mei Fun terajui Wanita MCA

KUALA LUMPUR: Calon Naib Presiden MCA, Datuk Dr. Ng Yen Yen yakin dengan kredibiliti Ketua Wanita MCA yang baru Datin Paduka Chew Mei Fun untuk menerajui kepimpinan sayap wanita parti itu.

Ng, yang tidak mempertahankan jawatan Ketua Wanita pergerakan itu kerana ingin merebut jawatan naib presiden parti, berkata, beliau yakin dengan kemampuan Chew kerana mempunyai pengalaman luas dalam pergerakan sayap wanita itu untuk membawa pembaharuan kepada parti.

Chew, yang sebelum itu timbalan ketua pergerakan itu, turut bertanding jawatan anggota Jawatankuasa Pusat Wanita MCA.

"Beliau adalah timbalan saya (Wanita MCA) selama sembilan tahun, jadi saya pasti beliau akan mengambilalih kepimpinan dengan cara yang hebat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan buku "Wanita MCA 33rd years Nation Building" di Wisma MCA, di sini hari ini.

Semalam, Chew memenangi jawatan Ketua Wanita MCA tanpa bertanding selepas pencalonan ditutup bagi pemilihan MCA Pusat, Pemuda dan Wanita.

Artikel Lain