suria

PM Tidak bercadang mansuh ISA

[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang untuk menyemak semula ataupun memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) buat masa sekarang walaupun ada gesaan pelbagai pihak ke arah itu sejak kebelakangan ini.

Sebaliknya kerajaan berpendapat undang-undang berusia lebih empat dekad itu masih lagi perlu diguna pakai dan tiada sebarang perbincangan dibuat berhubung statusnya setakat ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, ISA masih relevan dalam konteks sekarang.

Malah, katanya, banyak negara lain turut menguatkuasakan undang-undang yang mirip ISA atas sebab-sebab keselamatan.

"ISA pun bukan satu undang-undang yang tidak boleh diguna pakai.

"Undang-undang seperti ini pun diguna pakai oleh negara lain. "Negara-negara yang dulu tak ada ISA, sekarang rasa wajar untuk ada undang-undang seperti ISA. Negara seperti Amerika Syarikat dan England," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Agung MCA Ke-55 di Wisma MCA di sini pagi ini.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan menjawab demikian apabila ditanya sama ada kerajaan mungkin menimbangkan untuk menyemak semula ISA bersesuaian dengan keadaan semasa sekarang.

Parti-parti politik termasuk komponen Barisan Nasional (BN) menggesa agar akta berkenaan dimansuhkan.

Gesaan itu meningkat selepas tiga orang iaitu pengendali blog, pemberita dan Ahli Parlimen DAP Seputeh ditahan awal bulan lalu.

Ahli Parlimen dan pemberita telah dibebaskan.

Majlis Peguam juga mengutarakan pandangan sedemikian.

Tegas Abdullah, tidak berlaku sebarang salah guna kuasa semasa undang-undang itu dilaksanakan.

Beliau berkata, apa yang penting ialah melaksanakan undang-undang itu dengan berhati-hati.

"Langsung tidak ada unsur-unsur salah guna kuasa," katanya.

Abdullah berkata, untuk itu beliau akan memberikan tumpuan supaya tiga rang undang-undang berkaitan pembaharuan badan kehakiman, pencegahan rasuah dan kepolisan diluluskan sebelum beliau meletakkan jawatan pada Mac tahun depan.

"Pada ketika ini, saya memberikan tumpuan kepada pembentangan tiga rang undang-undang ini di Parlimen," katanya.

Mengenai gesaan pihak tertentu, termasuk parti politik supaya kerajaan membebaskan semua tahanan ISA, Abdullah berkata, perkara itu terletak dalam bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri.

"Saya tiada komen lain. Dia (Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar) lebih tahu lagi situasi-situasi yang ada, yang mewajarkan dia lepas atau teruskan dengan tahanan," katanya.

Ketika ditanya jika masanya tepat bagi langkah seumpama itu dengan mengambil kira yang beliau sudah memulakan langkah melaksanakan pembaharuan, Abdullah menjawab: "Apa pula? Pembaharuan ialah pembaharuan, undang-undang adalah undang-undang. Tahanan adalah tahanan."

"Pembaharuan tidak bermakna, semua kita nak buat pembaharuan, apa-apa yang ada dalam undang-undang, apa juga kesalahan yang ada (tak kan) dianggap tidak salah lagi," katanya.

Artikel Lain