suria

PM Cadangan tambah Timbalan Pengerusi BN akan dibincang

KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata cadangan Pemuda MCA agar jawatan Timbalan Pengerusi BN ditambah akan dibincangkan dalam Konvensyen BN tahun depan.

Beliau berkata sebarang cadangan yang akan dikemukakan untuk mengukuhkan dan membuat perubahan ke atas parti BN wajar dibentangkan di dalam konvensyen itu.

"Apa juga pandangan yang hendak dikemukakan berkaitan BN, tunggulah nanti kita akan bincangkan dalam konvensyen yang akan diadakan. Saya tahu parti komponen lain juga ada macam-macam idea dan pandangan.

"Jadi perkara ini perlu ditimbangkan dengan seelok-eloknya," katanya selepas merasmikan Perhimpunan Agung MCA ke-55 di Wisma MCA di sini hari ini.

Semalam, Ketua Pemuda MCA Datuk Liow Tiong Lai mencadangkan supaya jawatan Timbalan Pengerusi BN ditambah kepada dua jawatan dengan satunya daripadanya diisi oleh pemimpin MCA.

Liow berkata ini perlu memandangkan struktur BN harus memperlihat kedudukan, kepentingan dan perwakilan kesemua parti komponen secara bersesuaian memandangkan MCA selalu memainkan peranan penting dalam pembentukan kerajaan dan prinsip perkongsian kuasa sejak sebelum merdeka lagi.

Abdullah yang juga Pengerusi BN berkata parti juga perlu memahami latar belakang dan sejarah BN supaya apa yang dicadangkan itu dapat berjalan dengan baik, elok, berkesan dan tidak menimbulkan apa-apa perbalahan mengenainya.

"Apa yang kita lakukan mesti membawa kepada kebaikan kepada parti kita. Sebenarnya amalan yang ada sekarang ini bukanlah sesuatu amalan yang tidak baik.

"Ia satu amalan yang dapat menghasilkan satu kerjasama yang baik dalam masa 50 tahun parti kita bekerjasama bangunkan negara dan memberi kesejahteraan kepada rakyat," katanya.

Ketika ditanya adakah perkara itu akan dibincangkan di dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN, Abdullah berkata: "Ini isu besar bukan isu Dewan Tertinggi, kita akan bincang dalam konvensyen kerana kita perlu tahu juga ada parti komponen lain yang akan bangkit isu lain."

Sementara itu, ketika mengulas lanjut mengenai persepsi parti komponen lain mengenai Umno yang dikatakan suka membuli, Abdullah berkata perkara itu ditimbulkan pembangkang yang suka mewujudkan persepsi yang tidak baik terhadap BN.

"Kita semua patut memahami dan tahu, dalam BN pun patut tahu apa yang mereka (pembangkang) cakap untuk sama-sama kita bergaduh, ini tidak baik.

"Tetapi mujurlah semua pemimpin memahami dan sentiasa baik, kerjasama dalam apa jua situasi pun. Persepsi luar mengenai Umno buli parti komponen lain adalah tidak betul," katanya. BERNAMA

Artikel Lain