suria

Pemuda Umno Bahagian Gelang Patah diarah kira semula undi

JOHOR BAHARU: Jawatankuasa Bantahan Perhubungan Umno Negeri Johor mengarahkan Pemuda Umno Bahagian Gelang Patah melakukan pengiraan semula undi bagi pencalonan jawatan Ketua Pemuda dan Naib Ketua Pemuda Umno pusat.

Ketua Pemudanya Norisham Ismail bagaimanapun berkata, jawatankuasa tersebut yang diketuai oleh Datuk Ahmad Zahri Jamil memutuskan mesyuarat perwakilan Pemuda Umno Bahagian itu yang diadakan pada Ahad lepas adalah sah. Mesyuarat perwakilan Pemuda Umno Bahagian Gelang Patah itu memilih Khairy Jamaluddin sebagai calon Ketua Pemuda, manakala Datuk Reezal Merican Naina Merican sebagai calon Naib Ketua.

"Kami akur dengan keputusan supaya pengiraan undi untuk jawatan berkenaan (Ketua dan Naib Ketua Pemuda) dikira semula tetapi pada masa yang sama, saya menyeru semua ahli Pemuda Umno Gelang Patah untuk menerima bahawa mesyuarat perwakilan yang diadakan adalah sah," katanya.

Ditanya bilakah pengiraan semula undi itu akan dilakukan, katanya beliau akan merujuk Umno bahagian terlebih dahulu, sebelum membuat keputusan.

Menurut Norisham, beliau bersyukur dan akur dengan keputusan berkenaan dan berazam untuk merapatkan semula perpaduan antara semua anggota pergerakan berkenaan.

Mesyuarat perwakilan Pemuda Bahagian pada minggu lepas kecoh apabila anggota perwakilan bertindak menandatangani memorandum membantah mesyuarat berkenaan yang didakwa tidak sah atas sebab-sebab teknikal.

Semalam sembilan anggota jawatankuasa Pemuda Bahagian termasuk Naib Ketua Pemudanya, Mohd Shahruddin Mohd Jamal mengancam untuk meletakkan jawatan jika mesyuarat perwakilan itu tidak diadakan semula.

Norisham berkata, adalah amat penting untuk semua anggota Pemuda Umno bahagian terutama barisan anggota jawatankuasanya menerima keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Bantahan Perhubungan Umno Negeri Johor itu.

"Saya difahamkan ada ura-ura beberapa anggota jawatankuasa Pemuda Umno bahagian ini mahu meletakkan jawatan, tetapi sebagai Ketua Pemuda Umno yang baru dipilih, saya mahu mereka menimbangkan semula keputusan berkenaan," katanya. BERNAMA

Artikel Lain