suria

Pemuda MCA Kontrak sosial masih relevan

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda MCA, Datuk Liow Tiong Lai berkata, kontrak sosial masih lagi relevan selagi ia mampu menjamin keutuhan, kestabilan dan perpaduan rakyat di negara ini.

"Kita yakin dari semasa ke semasa kita perlu lihat kontrak sosial dari aspek semasa bagaimana sosial kontrak ini dapat terus menjamin keutuhan, kestabilan dan perpaduan rakyat di negara ini," kata beliau pada sidang media selepas perasmian persidangan perwakilan Pemuda MCA di sini semalam.

Liow yang juga Menteri Kesihatan berkata, matlamat untuk mengadakan kontrak sosial adalah untuk mewujudkan masyarakat harmoni, sejahtera dan bersatu padu.

Tambahnya, matlamat kontrak sosial itu baik kerana ia mampu menjamin kestabilan politik dan rakyat berbilang kaum di negara ini.

"Saya rasa buat masa sekarang kontrak sosial itu masih relevan pada masa ini.

"Kita akan pastikan ia berfungsi untuk jaga kestabilan dan kesejahteraan rakyat," katanya. Menurut Liow, generasi muda perlu memahami sejarah dan pelaksanaan kontrak sosial tersebut secara menyeluruh dan perkara itu perlu dipastikan dengan jelas.

"Mereka ada idea dan pandangan tersendiri yang perlu dilihat dan didengar dari pelbagai sudut," katanya.

Ketika ditanya adakah wajar untuk kontrak sosial dikaji semula memandangkan semalam Majlis Raja-raja berpendirian ia tidak harus dipertikaikan, Liow berkata:

"Jika kontrak sosial masih boleh mengekalkan kestabilan dan perpaduan dalam parti dan negara kita boleh kekalkan.

"Tapi dalam masa yang sama parti juga harus mendengar pandangan dan idea dari generasi muda."

Dalam perkembangan lain, Liow yang masih mengekalkan prinsipnya berhubung hak inidividu menubuhkan persatuan di bawah Perlembagaan Persekutuan berkata:

"Setiap orang ada hak untuk tubuhkan persatuan tetapi tidak bermakna jika persatuan telah ditubuhkan, mereka boleh lakukan apa yang mereka suka."

Mengenai isu pengharaman Hindraf sebagai satu pertubuhuan Liow berkata sayap Pemuda masih belum membuat keputusan berhubung isu tersebut.

"Kita akan memperinci dan menghalusi isu tersebut. Kita rasa kerajaan buat sesuatu keputusan berdasarkan kebaikan dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Artikel Lain