Mahathir Sudah ada usaha gagalkan Najib ganti Pak Lah - Semasa | mStar

Mahathir Sudah ada usaha gagalkan Najib ganti Pak Lah

KUALA LUMPUR: Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata sudah ada usaha pihak tertentu untuk memburukkan imej Datuk Seri Mohd. Najib Razak, seolah-olah mahu menggagalkan langkah Timbalan Presiden Umno itu untuk mengisi jawatan Presiden.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, apa yang dihadapi Najib sekarang sama dengan pengalaman beliau sendiri yang dilempar dengan pelbagai tuduhan setelah bersara Oktober 2003 untuk menimbulkan kebencian rakyat terhadapnya.

Kata Dr. Mahathir, tindakan membuat bermacam-macam tohmahan yang tidak dapat dibuktikan terhadap Najib itu tidak menghairankan beliau kerana memang itulah pendakatan yang digunakan pihak tertentu untuk menghakis kepercayaan rakyat terhadap Timbalan Perdana Menteri itu.

"Saya pun menghadapi perkara yang sama. Saya dilabelkan dengan macam-macam nama dan banyak tohmahan dan tuduhan dilemparkan terhadap saya, sehingga ke peringkat menubuhkan satu Suruhanjaya Diraja bagi mencari kesalahan saya, tetapi tidak satu pun yang dapat dibuktikan.

"Akhbar juga digunakan untuk memburuk-burukkan saya.

"Saya tahu akhbar diberi arahan oleh pihak tertentu untuk buat begitu," kata beliau kepada mStar Online di pejabatnya di sini, hari ini.

Najib setakat ini telah mendapat pencalonan untuk bertanding jawatan presiden parti daripada kesemua 30 bahagian Umno yang telah pun bermesyuarat.

Dua minggu lalu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatan Presiden Umno.

Ditanya sama ada beliau kini rasa "terbela" kerana tidak lagi disisihkan oleh pemimpin-pemimpin Umno dan pemimpin kerajaan seperti yang terbukti dengan kehadiran ramai pemimpin Umno dan anggota Kabinet pada satu majlis rumah terbuka di mana beliau adalah tetamu kehormat tiga hari lalu, Dr. Mahathir berkata, perkara seperti itu tidak sepatutnya menjadi satu isu besar.

Katanya, ia menjadi satu isu apabila arahan dikeluarkan oleh pihak tertentu menghalang pemimpin-pemimpin Umno dan anggota-anggota Kabinet daripada menghadiri program di mana beliau sendiri akan hadir.

"Mereka diarah jangan dekat dan berjumpa dengan saya.

"Saya juga tidak diberikan platform untuk memberikan pendapat. Media pun disekat. Ini tidak sepatutnya berlaku.

"Ia tidak pernah berlaku pada pemimpin-pemimpin sebelum saya," katanya.

Jelas bekas Presiden Umno itu, "apabila (Allahyarham) Tunku Abdul Rahman bersara, beliau terus bebas untuk berjumpa dan bertemu dengan pemimpin-pemimpin Umno dan anggota-anggota Kabinet ketika itu."

"Beliau malah mempunyai satu ruangan khas di akhbar. Begitu juga dengan pemimpin lain yang telah bersara, mereka tidak pernah dihalang berjumpa dengan sesiapa," tambah Dr. Mahathir yang Mei lalu keluar daripada Umno.

Beliau telah menyatakan kesediaan untuk ke pangkuan Umno bulan lalu.

Dr. Mahathir berkata, sepanjang menjadi Perdana Menteri beliau sentiasa bersikap terbuka terutama apabila berhadapan dengan media dengan tidak melarikan diri atau enggan menjawab sebarang soalan yang dikemukakan.

Katanya, sikap yang sama juga beliau amalkan selepas bersara walaupun tidak disenangi sesetengah pihak.

"Mereka cuba sekat platform saya untuk bercakap. Tetapi kalau saya nampak sesuatu tidak betul, takkan saya hendak diam," katanya.

Dr. Mahathir mendakwa, langkah menyekat beliau daripada bertemu pemimpin-pemimpin Umno dan kerajaan serta campurtangan dalam urusan media itu adalah sebahagian daripada usaha orang-orang di sekeliling Abdullah yang mahu menonjolkan beliau sebagai seorang Perdana Menteri yang lebih baik.

"Mereka bukan mementingkan pentadbiran negara, tetapi mahu menunjukkan bahawa beliau (Abdullah) adalah seorang Perdana Menteri yang lebih baik daripada saya.

"Mereka bukan sahaja mahu pastikan Abdullah akan meninggalkan legasinya sendiri, tetapi juga mahu memusnahkan apa yang saya telah buat selama menjadi perdana menteri," tambahnya.

Dr. Mahathir bagaimanapun tidak mahu apa yang beliau terpaksa lalui apabila disisih oleh pemimpin-pemimpin Umno dan kerajaan sebaik bersara turut menimpa Abdullah apabila beliau bersara kelak.

"Ia tidak patut berlaku kerana perbuatan seperti itu tidak bagus," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

MCA Sudah tiba masa kaji semula struktur BN

Artikel Berkaitan

Klik

default image

TMM2020: “Malaysia ada makanan sedap, banyak tempat indah dan membeli-belah pun murah” - Muhamaddin Ketapi

MALAYSIA menetapkan sasaran 30 juta pelancong dengan sasaran pendapatan sehingga RM100 bilion untuk TMM2020.

default image

Populasi penduduk kunci utama PSKL2040

DBKL menekankan aspek populasi penduduk sebagai kriteria utama dalam merangka pelan pembangunan di ibu kota.

default image

Percutian travel tren janjikan servis 'awesome' dan 1,001 pengalaman menakjubkan!

TRAVEL serata dunia lebih pantas dengan menggunakan kapal terbang tetapi amat menyeronokan jika tren menjadi pilihan.

default image

Merangsang Korporat Malaysia, PNB rangka strategi bersama pemimpin korporat kukuhkan ekonomi negara

SEJAJAR usaha Malaysia untuk menjadi kuasa ekonomi, adalah tepat pada masanya bagi sektor korporat negara meninjau ke arah langkah-langkah perubahan.

default image

Ketuhar Panasonic Big Cubie memang power! Memasak kini lebih mudah, hidangan lebih sihat dan lazat

ANDA mahu memasak hidangan dalam waktu singkat? Panasonic Big Cubie boleh membantu.

Artikel Lain