suria

Khairy dakwa kekecohan didalangi kumpulan yang diupah

KUALA PILAH: Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata beliau tidak menolak kemungkinan kekecohan yang berlaku dalam beberapa mesyuarat perwakilan Pemuda Umno Bahagian di seluruh negara didalangi kumpulan yang diupah pihak tertentu bagi mencetuskan ketegangan untuk memalukan institusi itu.

Katanya beliau menerima beberapa laporan daripada Pemuda Bahagian wujudnya kumpulan yang diupah pihak tertentu yang semata-mata datang bagi mengganggu dan menimbulkan kekecohan.

"Saya akan menyiasat perkara ini dan akan pastikan ia tidak berulang lagi," katanya selepas menghadiri rumah terbuka Aidilfitri Anggota Dewan Undangan (Adun) Seri Menanti, Abdul Samad Ibrahim di Dewan Tuanku Ampuan Najihah, Seri Menanti, di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai kekecohan mesyuarat Perwakilan Pemuda Umno Rantau Panjang, Kelantan, semalam sehingga Unit Tindakan Ringan (LSF) dari Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas dipanggil bagi menenangkan keadaan.

"Saya masih menunggu laporan penuh mengenai kejadian ini. Saya dimaklumkan peringkat awal, ada satu kumpulan yang tidak puas hati tetapi telah dihasut untuk mengganggu gugat perjalanan mesyuarat Pemuda".

"Perbuatan ini memalukan institusi Pemuda dan mengaibkan pemimpin. Ia adalah satu yang tidak sihat. Kalau hendak bertanding, ikutlah lunas demokrasi...akhirnya yang malu adalah institusi Pemuda UMNO sendiri," katanya.

Sementara itu, Khairy turut mengulas laporan Malaysiakini yang memetik seorang perwakilan Pemuda MCA dari Perak, Ting Tai Fong yang mendesak supaya beliau ditahan di bawah ISA kerana didakwa membuat kenyataan berunsur perkauman.

"Saya telah membaca artikel itu dan telah meminta Ketua Pemuda MCA Datuk Dr. Wee Ka Siong untuk membuat transkrip penuh ucapan Pemuda MCA itu.

"Buat masa ini saya tidak mahu respons terhadap laporan Malaysiakini," katanya.

Bagaimanapun, beliau menyatakan rasa kesal apabila ucapan beliau di Parlimen berhubung biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah disalah erti, sedangkan beliau tidak langsung membawa isu perkauman dalam topik berkenaan.

"Yang saya kata, saya setuju dengan tindakan kerajaan untuk meningkatkan biasiswa untuk bukan Melayu tetapi jangan dikurangkan biasiswa untuk orang Melayu.

"Jadi saya minta supaya jumlah biasiswa itu dipertingkatkan agar nisbah 90:10 itu tidak jatuh terlalu mendadak kepada 55:45. Saya rasa tidak ada isu perkauman yang membawa kepada ketidakadilan kepada bangsa lain," katanya.

Khairy berkata adalah tidak adil perkara itu dibangkitkan kerana beliau tidak pernah membangkitkan isu perkauman dalam perihal biasiswa itu. BERNAMA

Artikel Lain