suria

Ketua Pemuda Zahidi bayang tarik diri umum 22 Oktober

[DIKEMAS KINI] KANGAR: Ketua Umno bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin hari ini membayangkan kemungkinan menarik diri daripada bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno pusat.

Beliau yang ditemui selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Padang Besar di Bukit Ketri dekat sini, mendakwa trend pemilihan calon yang lebih mengutamakan faktor kekuatan calon dan faktor kekeluargaan dengan tokoh utama parti menyebabkan beliau mendapat pencalonan yang kecil.

Sehubungan itu, Zahidi berkata, beliau akan berbincang dengan Badan Perhubungan Umno Perlis terlebih dahulu sebelum mengumumkan keputusannya pada 22 Oktober ini.

"Saya akan memberi tumpuan sepenuhnya dalam usaha mempertahankan jawatan dalam bahagian kerana tiada gunanya saya bertanding di peringkat nasional sekiranya saya tewas di bahagian," katanya kepada pemberita.

Sehingga semalam, Zahidi hanya memperoleh satu pencalonan bagi jawatan Ketua Pemuda yang turut menyaksikan tiga lagi pesaing, Datuk Mukhriz Tun Mahathir dengan 44 pencalonan, Khairy Jamaluddin (23) dan Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo (13).

Setakat ini, Zahidi yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis memperoleh pencalonan tunggal daripada bahagian Padang Besar. BERNAMA

Artikel Lain