suria

Mukhriz Khairy tambah pencalonan hari ini

KUALA LUMPUR: Persaingan bagi merebut jawatan ketua Pemuda Umno terus sengit dengan Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir kekal mendahului dengan 42 pencalonan setakat ini.

Hari ini beliau mendapat satu lagi pencalonan daripada Pemuda Umno Bahagian Pendang.

Naib Ketua pergerakan itu, Khairy Jamaluddin juga mendapat satu lagi pencalonan hari ini melalui Pemuda Umno Bahagian Rantau Panjang menjadikan jumlah pencalonan yang beliau terima bagi jawatan sama meningkat kepada 22.

Turut mendapat tambahan satu lagi pencalonan bagi jawatan itu ialah bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, melalui Pemuda Umno bahagian Kemaman, menjadikan jumlah pencalonan beliau 14 sehingga ini.

Ketiga-tiga bahagian Pemuda Umno itu mencalonkan Pengerusi Biro Ekonomi Pemuda Umno Datuk Reezal Merican Naina Merican untuk jawatan naib ketua pergerakan itu, menjadikan pencalonan beliau bagi jawatan itu meningkat kepada 34.

Sehingga petang ini dua lagi Pemuda Umno bahagian iaitu Kuala Kedah dan Padang Terap, masih mengadakan mesyuarat masing-masing.

Sementara itu Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz terus dicalonkan untuk mempertahankan jawatannya oleh dua lagi bahagian Wanita Umno hari ini iaitu Kubang Kerian dan Alor Star, menjadikan jumlah pencalonan yang diterima setakat ini meningkat kepada 54.

Kedua-dua bahagian itu mencalonkan Naib Ketua pergerakan itu, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk mempertahankan jawatan partinya dan menjadikan jumlah pencalonan yang diterima bagi jawatan itu 59 setakat ini.

Walaupun Rafidah telah mengumumkan pelan peralihan kuasa kepada Shahrizat, bagi mengelakkan pertandingan bagi jawatan nombor satu dan nombor dua pergerakan itu, Shahrizat juga telah mendapat 12 pencalonan setakat ini untuk jawatan ketua pergerakan itu daripada 12 bahagian Wanita Umno.

Artikel Sebelum

Zahidi tewaskan Azmi Khalid

Artikel Lain