suria

MCA Sudah tiba masa kaji semula struktur BN

KUALA LUMPUR: Masanya sudah tiba untuk Barisan Nasional (BN) mengkaji semula struktur kepimpinannya bagi mencerminkan komposisi parti campuran pemerintah pelbagai bangsa yang lebih baik, kata Timbalan Presiden MCA, Tan Sri Chan Kong Choy hari ini.

Beliau berkata, tidak ada peraturan muktamad dalam BN bahawa pengerusi dan timbalan pengerusi campuran 13 parti mestilah dipegang oleh presiden dan timbalan presiden Umno.

"Cadangan mengenai timbalan ketua BN adalah cadangan yang wajar... jika diimbau kembali sejarah Barisan Nasional, tidak ada peraturan muktamad bahawa pemimpin Umno mestilah menduduki jawatan kanan tertentu dalam BN.

"Saya masih ingat apabila BN mula ditubuhkan pada 1974, setiausaha agungnya daripada MCA... iaitu Tan Sri Michael Chen.

"Tidak ada bahawa pemimpin kanan Umno secara automoatik dilantik mengisi jawatan utama BN," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Agung Pemuda MCA di ibu pejabat parti itu di sini.

Chan dan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting tidak mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti esok.

Timbalan presiden MCA itu diminta mengulas saranan Ketua Pemuda yang akan melepaskan jawatan itu Datuk Liow Tiong Lai, yang juga Menteri Kesihatan bahawa BN wujudkan jawatan timbalan pengerusi kedua untuk memberi ruang kepada pemimpin MCA.

"Sesungguhnya cadangan Liow itu sudah tiba masanya dan bukan tidak berasas... lihat pada sejarah. Pemimpin BN hendaklah serius dengan cadangan ini terutamanya ketika kita bercakap mengenai perkongsian kuasa dan perubahan dalam BN," tambah beliau.

Mengenai pengharaman Hindraf oleh Kementerian Dalam Negeri, katanya, sungguhpun negara membenarkan penubuhan persatuan dan pertubuhan, ini tidak bermakna bahawa mereka yang menubuhkan pertubuhan ini boleh bertindak mengikut sesuka hati mereka.

"Ada undang-undang dan peraturan untuk diikuti dan dihormati, ini adalah undang-undang negara ini.

"Jadi apabila sesebuah pertubuhan itu ditubuhkan, ia tidak boleh bertentangan dengan undangundang lain dan menggunakan undangundang sendiri. Mereka mestilah mematuhi peraturan negara.

"Saya fikir kerajaan hendaklah memberikan perhatian sangat khas kepada masyarakat India dan cuba mencari jalan membantu komuniti India," tambah Chan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Zahidi tewaskan Azmi Khalid

Artikel Lain