suria

Sepang calonkan Muhammad saingi Timbalan Presiden Najib masih di depan

SEPANG: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak malam tadi menerima satu lagi pencalonan - kali ini daripada Umno Bahagian Sepang untuk jawatan Presiden.

Bagaimanapun bagi jawatan Timbalan Presiden, bahagian itu mencalonkan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Tan Sri Muhammad Muhamad Taib yang juga Ketua Penerangan Umno.

Najib kekal sebagai calon tunggal untuk jawatan Presiden dengan 30 pencalonan sementara Muhammad pula mendapat tiga pencalonan.

Persidangan bahagian itu yang bermula kira-kira 9 malam tadi berlarutan sehingga awal pagi ini.

Sementara Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Naib Presiden Umno kekal dengan 24 pencalonan bagi jawatan Timbalan Presiden dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang juga Naib Presiden Umno dengan tiga pencalonan.

Kuota kelayakan bertanding bagi jawatan Presiden parti adalah sekurangkurangnya 58 pencalonan, 39 pencalonan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden dan 20 pencalonan untuk jawatan Naib Presiden.

Umno Bahagian Sepang turut mencalonkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin dan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon Naib Presiden.

Dengan pencalonan hari ini, Ahmad Zahid mendapat 16 pencalonan, Mohd Shafie (15) dan Khaled (11).

Sehingga hari ini, persaingan bagi tiga jawatan Naib Presiden Umno masih kekal dengan 11 calon.

Bagi kerusi itu, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mendahului dengan 25 pencalonan, diikuti Ahmad Zahid dan Mohd Shafie.

Setakat ini hanya Hishammuddin yang melepasi syarat untuk bertanding jawatan Naib Presiden setelah 29 daripada 191 bahagian Umno mengadakan mesyuarat perwakilan masing-masing.

Artikel Lain