suria

Razaleigh sambut baik syor bahagian calon pemimpin belum capai kuota

ALOR STAR: Tengku Razaleigh Hamzah, yang menawarkan diri bertanding jawatan Presiden Umno, mengalu-alukan cadangan agar bahagian mencalonkan calon yang belum lagi menerima cukup kuota pencalonan untuk bertanding Mac depan.

"Bagaimanapun terpulanglah kepada bahagian untuk memutuskan jika mahu berbuat demikian.

"Tidak ada peraturan dalam perlembagaan parti untuk membenarkan bahagian-bahagian membuat pencalonan bagi calon yang belum mencapai kuota mereka," kata beliau.

Kelmarin, Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim yang juga Anggota Majlis Tertinggi mencadangkan bahagian mencalonkan calon yang belum lagi mencapai kuota untuk bertanding sesuatu jawatan dan jangan tertumpu kepada calon yang telah melepasi kuotanya.

Beliau berkata, dengan membantu calon untuk memperoleh kuota pencalonan, lebih ramai boleh bertanding pada pemilihan parti.

Ketika diminta mengulas kenyataan Rais itu, Tengku Razaleigh berkata: "Saya percaya ia adalah tindakan seorang budiman untuk mencalonkan seseorang agar boleh bertanding dalam pemilihan parti Mac depan."

Tengku Razaleigh setakat ini belum lagi memperoleh sebarang pencaloan untuk jawatan Presiden yang ditawar untuk ditandingi.

Bekas Menteri Kewangan itu berkata, ahli Umno hendaklah memilih calon yang mempunyai trek rekod yang bersih dan tidak terbabit dengan skandal termasuk rasuah kerana parti memerlukan seorang pemimpin yang bebas daripada skandal serta tidak menyebabkan imej buruk kepada parti. BERNAMA

Artikel Lain