suria

Nazri Memorandum Rang Undangundang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dibawa ke Kabinet esok

PUTRAJAYA: Memorandum Rang Undang-Undang berhubung penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah akan dibawa dan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri esok untuk keputusan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Beliau berkata apabila Kabinet meluluskan memorandum rang undang-undang tersebut, ia akan dibawa bagi bacaan pertama pada sesi Dewan Rakyat ini.

Katanya bacaan kedua akan diadakan sebaik selesai perbahasan belanjawan dengan rang undangundang itu akan mula dibahas pada 11 Disember.

"Ini merupakan satu daripada perkara yang dijanjikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan sekarang ini memorandum itu telah disediakan dan saya tandatangani dan esok akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri untuk keputusan.

"Saya telah berunding dengan pihak Parlimen untuk memberi keutamaan kepada rang undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan saya harap kita dapat bahas dan saya bentang, bahas dan diluluskan dalam sesi ini juga," katanya kepada pemberita selepas majlis Gerak Mesra Aidilfitri Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Nazri berkata suruhanjaya tersebut dijangka akan dapat ditubuhkan pada awal tahun depan.

"Apabila dibentang, dilulus oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara, kemudian ia akan diwarta dan selepas itu, ia (suruhanjaya) akan terbentuk," katanya.

Beliau berkata langkah penubuhan suruhanjaya itu bagi melengkapi BPR dalam melaksanakan tugas pencegahan rasuah dan akta perlindungan saksi akan turut dibentangkan bagi membantu pemberitahu maklumat dengan memberikan perlindungan.

"Jadi, akta ini akan dibentangkan pada sesi tahun ini juga dan saya percaya apabila dibentangkan, ini akan dapat membantu BPR dalam menjalankan tugasnya," katanya.

Mengenai suruhanjaya pelantikan hakim, katanya memorandum rang undangundang tersebut sedang disediakan dan akan dibawa ke Kabinet.

"Jika boleh dibawa ke Kabinet dalam seminggu dua ini, saya percaya kita boleh bentang rang undang-undang suruhanjaya pelantikan hakim dalam sesi Dewan Rakyat ini juga," katanya.

Sementara itu, pada sidang akhbar yang sama, Ketua Pengarah BPR Datuk Seri Ahmad Said Hamdan berkata di bawah suruhanjaya itu, pihaknya boleh mengambil kakitangan secara kontrak dan sebagainya serta mengambil pegawai yang berpengalaman dalam bidang tertentu untuk membantu suruhanjaya.

"Sekarang ini, kita mendapat pegawai dan kakitangan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan apa juga yang mereka hantar, kita terpaksa mengambilnya, jadi kita kena latih.

"Sekarang ini, selain itu, yang akan kita buat tambahan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah akan mengambil orang-orang yang sesuai mengikut kontrak atau secara sandaran untuk bantu kita. Ini bagi menambahbaik perkhidmatan kita," katanya.

Mengenai dakwaan wujud perbuatan rasuah dilakukan kerajaan seperti pembelian helikopter daripada Eurocopter bagi menggantikan pesawat Nuri yang digunakan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), beliau berkata kerajaan akan meneliti perkara itu.

"Jika ada, manamana kes pun, jika ada berlaku pelanggaran jenayah rasuah, kita akan tengok, lainlain kes pun, kita akan siasat," katanya.

Mengenai dakwaan wujud penyelewengan dalam kejohanan kapal layar Piala Monsun di Terengganu, beliau berkata pihaknya telah menyemak beberapa kali berhubung kes itu dan didapati tidak wujud pelanggaran dan kesalahan.

"Tidak ada apaapa pelanggaran jenayah rasuah yang berlaku. KIta perlu jelas tentang perkara ini.

"Jika tidak ia memberi imej buruk bukan sahaja terhadap Terengganu tetapi Malaysia secara keseluruhannya sebagai penganjur acara bertaraf antarabangsa. Kita sudah buat yang terbaik, tetapi kerana bendabenda kecil seperti ini, ia akan menjejas imej Malaysia. BERNAMA

Artikel Lain