suria

Kes bunuh dan rogol Nurul Huda Mohd Abbas terlepas hukukman mati

PUTRAJAYA:Bekas pengawal keselamatan, Mohd Abbas Danus Baksan, yang didapati bersalah membunuh budak perempuan berumur 10 tahun, Nurul Huda Abdul Ghani di Johor empat tahun lepas, terlepas daripada hukuman mati selepas Mahkamah Persekutuan mengenepikan sabitan dan hukuman itu.

Mahkamah, bagaimanapun, mengekalkan hukuman penjara 20 tahun dan 24 sebatan dengan rotan yang diputuskan Mahkamah Sesyen Johor Baharu bagi kesalahan merogol budak prempuan itu, yang Mohd Abbas mengaku bersalah.

Namun dia terlepas hukuman sebatan kerana dia kini berumur 52 tahun.

Semasa membenarkan rayuan Mohd Abbas, Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zaki Tun Azmi berkata beliau bersetuju dengan hujahan pembelaan bahawa terdapat orang ketiga yang terlibat dalam kes itu.

"Dengan itu semua keterangan keadaan yang dikemukakan pihak pendakwaan tidak menunjukkan yang kesalahan itu dilakukan sepenuhnya oleh perayu (Mohd Abbas)," katanya semasa memansuhkan keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.

Bersidang bersamasama dengan Hakim Zaki ialah Hakim Besar Malaya Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Aziz Mohamad.

Mohd Abbas kelihatan tergamam selepas jurubahasa mahkamah menjelaskan keputusan itu kepadanya.

Mahkamah Tinggi Johor Baharu pada 27 Ogos, 2004, mendapati dia bersalah membunuh Nurul Huda di pondok pengawal keselamatan pencawang utama Tenaga Nasional Berhad di Kampung Pekajang, Tanjung Kupang, Johor Baharu antara 9.20 pagi dan 1 tengah hari pada 17 Jan, 2004.

Dia juga dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan 24 sebatan dengan rotan oleh Mahkamah Sesyen Johor Baharu pada 26 Jan, 2004, selepas dia mengaku bersalah merogol budak perempuan itu.

Mayat Nurul Huda dalam keadaan bogel ditemui dalam tandas pondok pengawal itu. Budak perempuan itu sebelum itu pergi ke kedai yang terletak kirakira 500 meter dari rumahnya untuk membeli barangan.

Mohd Abbas memohon mendapatkan penghakiman daripada Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman itu pada 3 Julai, 2006.

Semalam, peguam yang mewakili Mohd Abbas, Jagdish Kaur, berhujah terdapat orang ketiga terlibat dalam kes itu dan Mohd Abbas dalam keteranganya berkata dirinya dan dua lelaki lain bernama Suyaimi Mohd Zin dan "Jojo" merogol budak perempuan itu.

Katanya pertuduhan asal di Mahkamah Majistret, menyatakan Mohd Abbas melakukan kesalahan itu bersamasama dua lagi lelaki tetapi selepas kes itu dihadapkan ke Mahkamah Tinggi, hanya nama Mohd Abbas disebut.

Hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Hanafiah Zakaria berhujah berdasarkan keterangan, jelas menunjukkan Mohd Abbas telah membunuh Nurul Huda kerana hanya dia seorang yang bekerja di pondok pengawal itu dan keengganannya membenarkan polis dan abang Nurul Huda masuk ke pondok itu untuk menyiasat menunjukkan yang dia menyembunyikan sesuatu.

Katanya hakikat yang Suyaimi atau manamana orang lain tidak didakwa bersamasama dengan Mohd Abbas menunjukkan yang pendakwaan tidak mempunyai bukti terhadap mereka. Hakim Zaki berkata terdapat banyak lompang dalam kes pendakwaan dan penyiasatan pihak pendakwaan juga tidak lengkap.

"Adalah menjadi tanggungjawab pendakwaan untuk membuktikan pembunuhan itu. Tugas pihak pembelaan ialah untuk menimbulkan keraguan," katanya. BERNAMA

Artikel Lain