suria

Hindraf Tindakan pengharaman tidak adil

[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA: Kumpulan Hindraf yang diisytiharkan sebagai pertubuhan haram berkuat kuasa semalam, menyifatkan tindakan Kementerian Dalam Negeri sebagai tidak adil.

Tindakan itu tidak adil kerana Hindraf tidak terlibat dalam perbuatan jenayah ataupun melanggar apa-apa undang-undang, kata Penyelaras pusatnya R. Thanenthiran.

Bagaimanapun pihak berkenaan tidak mahu mengulas lanjut, sebaliknya akan mengeluarkan kenyataan hari ini.

"Kami hanya akan mengulas esok (hari ini). Biar kami melihat kenyataan keputusan (diharamkan) terlebih dahulu.

"Kami tidak mahu mengatakan sesuatu terlebih dahulu tetapi diubah kemudian oleh pihak yang sudah kehilangan kepercayaan rakyat," kata beliau ketika dihubungi.

Kerajaan mengumumkan keputusan itu sehari selepas tiga pemimpin kumpulan tersebut diambil keterangan polis kelmarin berhubung tindakan kira-kira 300 penyokongnya menghadiri rumah terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan anggota Kabinet di PWTC 1 Oktober lalu dan didakwa menimbulkan kekecohan.

Pengisytiharan itu diwartakan berkuat kuasa semalam setelah berpuas hati dengan segala fakta dan bukti bahawa Hindraf telah dan sedang digunakan bagi maksud memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan negara dan akhlak, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar dalam satu kenyataan.

"Berdasarkan kuasa di bawah Sekyen 5(1) dan Akta Pertubuhan 1966, diisytiharkan Hindraf adalah sebuah pertubuhan yang menyalahi undang-undang," kata Syed Hamid Albar. Hindraf dibentuk dengan keanggotaan kira-kira 30 pertubuhan bukan kerajaan agama Hindu dan telah mengadakan perhimpunan di ibu negara pada 25 November lalu untuk menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Tinggi Britain.

Bagaimanapun perhimpunan itu tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa.

Rentetan daripada itu lima pemimpinnya kini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Dalam kenyataan hari ini, Syed Hamid menambah, perintah itu dibuat hasil pemantauan dan penyiasatan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, Kementerian Dalam Negeri mengenai kegiatan-kegiatan pertubuhan tersebut yang telah dijalankan sejak mula ditubuhkan sehingga sekarang.

Hasil siasatan mendapati pertubuhan itu bertentangan dengan Akta Pertubuhan 1966 dan boleh memudaratkan ketenteraman awam, keamanan, keselamatan, ketertiban dan nilai-nilai moral di Malaysia.

Syed Hamid berkata, sekiranya tidak dibendung, Hindraf akan terus mengancam dan menggugat ketenteraman awam, keselamatan dan kedaulatan negara malah menjejaskan keharmonian hidup berbilang kaum.

"Tindakan pengharaman yang diambil bukannya berasaskan kepada satu atau dua kegiatan pertubuhan yang menyalahi peraturan dan undang-undang tetapi meliputi rentetan semua kegiatan dan aktiviti yang telah dilakukan sejak pertubuhan ini diwujudkan," katanya.

Syed Hamid berkata, Hindraf mempunyai ciri-ciri sebagai sebuah pertubuhan kerana telah mengemukakan permohonan pendaftaran pada 16 Oktober tahun lalu dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.

Permohonan itu, katanya, belum diluluskan tetapi pertubuhan tersebut telah bergerak aktif dengan menganjurkan beberapa perhimpunan awam dan demontrasi tanpa permit dan mengeksplotasi isu-isu perkauman sehingga mencetuskan kebangkitan penentangan sebahagian keturunan India terhadap kerajaan dan menimbulkan kebencian di antara orang-orang Melayu dan India di negara ini.

"Hindraf juga telah berusaha mendapatkan sokongan dari negara asing bagi memberi tekanan kepada kerajaan supaya tunduk kepada tuntutantuntutan mereka.

"Kegiatan dan aktiviti ini telah memberi kesan buruk pada imej negara," kata beliau dipetik Bernama.

Syed Hamid menasihati orang ramai agar tidak melibatkan diri dalam apa cara sekalipun dalam kegiatan Hindraf yang diharamkan itu.

Artikel Lain