suria

Haram Polis tidak akan kompromi Hindraf dakwa kerajaan gagal bantu kaum India

[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA: Kementerian Dalam Negeri menyerahkan kepada polis dan mahkamah untuk memutuskan tindakan yang akan diambil terhadap kumpulan Hindraf yang diharamkan semalam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar Syed Hamid berkata, polis akan menjalankan siasatan secara menyeluruh dan terserah kepada mahkamah untuk menjatuhkan hukuman jika mereka didapati bersalah.

Tegas beliau, kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana kumpulan ekstremis tanpa mengira latar belakang kaum atau agama mereka kerana di masa lepas kerajaan telah mengambil tindakan terhadap Al-Arqam, Al-Maaunah dan Kumpulan Militan Malaysia.

"Keutamaan kerajaan ialah melindungi keselamatan rakyat Malaysia," kata beliau kepada wartawan di Putrajaya pagi tadi.

Beliau mengulangi yang aktiviti Hindraf telah secara konsisten melanggar undang-undang, dan demonstrasi haram yang dianjurkan mereka bertukar menjadi ganas dan mencetuskan kebencian antara kaum.

Dalam pada itu, R. Thanenthiran yang sebelum ini bertindak sebagai penyelaras pusatnya berkata, kerajaan sewajarnya telah tampil dengan pendekatan tegas untuk membantu masyarakat India negara ini, bukannya menggunakan pendekatan 'keras' mengharamkan kumpulan yang tidak wujud.

"Dengan mengambil tindakan ini (diharamkan) kami merasakan mereka (kerajaan) tidak menyediakan pelan tindakan afirmatif untuk membantu masyatakat India yang terpinggir, sebaliknya menggunakan pendekatan keras untuk memperjuangkan Umno.

"Majoriti rakyat Melayu juga menyokong permintaan-permintaan asas kami," kata beliau ketika dihubungi.

Soal beliau, perlukah langkah pengharaman dikenakan ke atas sebuah kumpulan yang meminta agar keadaan dan keperluan asas seperti peluang pekerjaan dan keadaan sosioekonomi masyarakat India diperbaiki.

Ketika ditanya mengenai tindakan susulan, beliau berkata, pihaknya mahu mengambil pendekatan tunggu dan lihat buat masa sekarang.

"Mereka tidak boleh mendiamkan semangat masyarakat India... jika hendak membantu masyarakat India, majoriti ketiga terbesar negara ini, kerajaan perlu bertindak dengan jujur... masyarakat India masih berhadapan dengan kesusahan," kata beliau.

Dalam kenyataannya hari ini, Syed Hamid berkata: "Mereka menyebarkan mesej yang boleh mencetuskan ketegangan kaum dan agama."

"Mereka mencetuskan rasa takut di kalangan orang ramai. Mereka malahan mengancam nyawa orang ramai," kata Syed Hamid.

"Walaupun kerajaan bersedia mendengar rintihan rakyat malahan yang disuarakan dengan katakata yang kurang menyenangkan, kerajaan tidak dapat bertolak ansur dengan kumpulan kecil yang menyebarluaskan ekstremisme yang mencetuskan ketegangan kaum dan agama," katanya.

Katanya kaum India tidak diabaikan di negara ini kerana mereka diwakili dengan baik oleh 14 anggota Parlimen India, 21.4 peratus dalam bidang perundangan, 18.4 peratus dalam bidang perubatan dan pendapatan mereka secara menyeluruh ialah 1.2 kali lebih tinggi daripada pendapatan orang Melayu.

Daripada segi golongan yang hidup di bawah garis kemiskinan, kaum India sebanyak 2.9 peratus, Cina (0.6 peratus) dan Melayu (8.3 peratus), katanya.

Syed Hamid berkata, juga terdapat nisbah satu kuil bagi 149 penganut Hindu berbanding satu masjid bagi 2,300 orang Islam di negara ini.

Ditanya kenapa sekarang kerajaan mengambil langkah mengharamkan kumpulan itu, beliau berkata, kerajaan perlu menjalankan penyiasatan terperinci.

Mengenai pengharaman kumpulan itu yang dibuat sebelum perayaan Deepavali pada 27 Oktober, Menteri Dalam Negeri itu berkata, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk melindungi keamanan dan kestabilan di negara ini pada setiap masa.

Artikel Lain