suria

Guru wanita buat laporan polis selepas ditendang pelajar

KANGAR:Seorang guru wanita mendakwa ditendang di bahagian perutnya oleh seorang pelajar perempuan tingkatan dua ketika dia sedang mengajar di sekolahnya di sini hari ini.

Azhana Ibrahim berkata, beliau diserang oleh pelajar itu kira-kira pukul 10 pagi ekoran tindakannya cuba mendapatkan penjelasan daripada pelajar itu tentang perkataan "gila babi" yang tertulis pada bahagian belakang satu folio yang diarahkannya.

Pelajar itu bersama seorang lagi pelajar perempuan yang menemui guru itu telah memanggil rakanrakan mereka selepas berlaku pertengkaran dengan guru itu.

Ketika semakin ramai rakan-rakan pelajar itu datang, guru berkenaan telah ditendang sebelum ia lari menyelamatkan diri.

Guru itu kemudiannya membuat laporan polis di balai polis Kangar selepas waktu persekolahan pada tengah hari kerana bimbang diancam para pelajar itu.

Beliau yang sudah lima tahun berkhidmat sebagai guru berkata, insiden itu adalah yang pertama ditempuhinya sepanjang perkhidmatannya.

Ketua Polis Daerah Kangar, Supt Yusof Mohd Diah mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Sekolah itu mendapat perhatian ramai baru-baru ini apabila beberapa orang pelajar Islamnya terlibat mengiringi perarakan berhala sempena perayaan tokong sayur Buddha di sini. BERNAMA

Artikel Lain