suria

Calon Ketua Umno Bahagian Jerlun buat laporan polis dakwa difitnah

JITRA:Calon Ketua Umno Bahagian Jerlun Datuk Abu Hasan Sarif membuat laporan di Balai Polis Jitra mendakwa dirinya difitnah melalui surat layang yang dihantar ke semua 516 ketua cawangan di bahagian itu.

Dalam laporan polis yang dibuatnya semalam itu, Abu Hasan mendakwa isi kandungan surat layang itu antara lain memburukkan dirinya sebagai kaki ampu, membuat kerja, bergaduh dengan wakil calon sendiri dan menggelapkan wang.

Beliau mendakwa surat layang itu mula diedarkan semalam melalui pos dan serahan tangan.

"Selepas menerima surat layang itu, saya membuat laporan di Balai Polis Jitra petang semalam meminta supaya pihak berkuasa menyiasat dalang dan penulisnya untuk diambil tindakan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abu Hasan, 53, timbalan ketua Umno Bahagian Jerlun akan bertanding jawatan ketua bahagian pada persidangannya yang dijadualkan Isnin ini.

Beliau mendapat 107 pencalonan daripada cawangan bahagian itu.

"Saya juga akan membuat aduan dan laporan kepada Jawatankuasa Pemilihan dan Lembaga Disiplin Umno secepat mungkin mengenai pengedaran surat layang ini," katanya yang mempertahan kerusi DUN Siputeh bagi penggal keempat pada pilihan raya umum lepas.BERNAMA

Artikel Lain