suria

APMM rampas 525 kg ikan yang ditangkap guna bahan letupan

SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan tiga rakyat tempatan dan empat warga Filipina yang terlibat dalam aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan di kawasan Pulau Langkayan kira-kira 30 batu nautika dari sini hari ini.

Ketua Penguatkuasa APMM Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Ahmad Puzi Ab Kahar berkata sebanyak 525 kilogram ikan pelbagai jenis berjaya dirampas.

Katanya bot yang dinaiki oleh tujuh orang itu ditahan oleh kapal peronda APMM pada 10 pagi selepas menerima maklumat mengenai kegiatan mereka itu daripada orang awam.

"Turut dirampas daripada mereka adalah 15 kilogram bahan letupan yang telah diproses untuk dijadikan bom ikan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, mereka disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap dengan menggunakan bahan letupan racun yang boleh didenda tidak lebih daripada RM20,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. BERNAMA

Artikel Lain