suria

125 wanita Malaysia meninggal dunia setiap bulan kerana barah payudara

KUALA LUMPUR: Penasihat Perdana Menteri mengenai Pembangunan Wanita dan Sosial Datuk Seri Shahrizat Jalil meminta hospital-hospital swasta agar menubuhkan tabung khas untuk membuat kajian bagi mengenalpasti punca meningkatnya kes barah payudara di negara ini.

Menurutnya, langkah ini wajar memandangkan barah payudara adalah punca utama menyebabkan kematian akibat barah di kalangan wanita Malaysia.

Berucap melancarkan kempen kesedaran barah payudara anjuran Pusat Perubatan Pantai di sini hari ini, Shahrizat berkata hospital-hospital swasta perlu melaksanakan tanggungjawab sosialnya membantu kerajaan untuk menggalakkan seramai mungkin wanita menjalani pemeriksaan mamogram sebagai langkah awal mengesan barah payudara.

Tahun lalu, katanya, kerajaan telah pun menyediakan subsidi RM50 bagi wanita yang layak menjalani ujian mamogram di pusat-pusat perubatan terpilih.

Beliau juga meminta golongan suami agar menggalakkan isteri masing-masing menjalani pemeriksaan barah payudara secara teratur, sekurang-kurangnya sekali setahun.

"Dengan perkembangan perubatan modern, barah payudara boleh dirawat sepenuhnya sekiranya ia dikesan awal. Pengesanan awal adalah penting bagi menjamin pesakit dapat pulih sepenuhnya.

"Oleh itu, hadiah paling berharga boleh diberikan oleh seseorang suami kepada isterinya setiap tahun ialah pemeriksaan perubatan yang menyeluruh, terutama barah payudara," tambahnya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubatan Pantai, Tan Suet Guan, kes barah payudara bukan sahaja semakin meningkat, malah kadar kematian akibat penyakit itu turut bertambah kerana kesedaran yang masih rendah terhadap penyakit itu.

Statistik menunjukkan purata 4,500 kes baru barah payudara dikesan di kalangan wanita Malaysia dan satu pertiga daripada jumlah itu, iaitu 125 wanita meninggal dunia akibat penyakit itu setiap bulan.

Sebagai memenuhi tanggungjawab sosialnya, Pusat Perubatan Pantai menyediakan khidmat pemeriksaan mamogram pada harga diskaun RM90 sepanjang bulan ini dan bulan depan. Harga biasa bagi pemeriksaan itu ialah RM125.

Artikel Lain