suria

Raymond Tan harap dapat tubuh parti politik baru sebelum akhir tahun

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Raymond Tan Shu Kiah berharap dapat menubuhkan sebuah parti politik baru sebelum akhir tahun ini bagi melaksanakan perjuangannya dalam Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, penubuhan sebuah parti baru hanyalah satu daripada pilihannya dan beliau memerlukan masa untuk membuat keputusan.

Tan, yang kini menganggapkan dirinya sebagai "anggota bebas Barisan Nasional" setelah Parti Maju Sabah (SAPP) yang dianggotainya, keluar daripada gabungan BN pada 17 Sept, memberitahu sidang akhbar di sini hari ini bahawa beliau akan kekal bersama BN.

"Saya masih dalam proses memikirkan apa yang akan saya lakukan untuk BN. Saya fikir ia bukan setakat mempunyai parti dalam BN, kami bercakap mengenai apa yang akan kami lakukan sekiranya kami memang mempunyai parti," katanya, sambil menambah ia mesti menepati politik setempat dan mempunyai misi serta objektif.

Kesepakatan dalam BN amat penting dalam mendepani cabaran yang bakal tiba, katanya. Tan, yang mengakui bahawa beliau telah berbincang mengenai cadangan menubuhkan parti pelbagai kaum itu dengan beberapa pemimpin negeri, termasuk seorang bekas menteri kabinet negeri, Datuk Liew Yun Fah, tidak bersetuju dengan tanggapan bahawa sebuah parti baru akan lebih memecahbelahkan masyarakat di negeri ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain